Kemiskinan mengamit keluarga Chin di Sabah

Kemiskinan mengamit keluarga Chin di Sabah

Sepasang suami isteri telah mendiami sebuah rumah papan yang terletak di Kampung Air, Tanjung Aru Lama selama 36 tahun.

Sepasang suami isteri telah  mendiami sebuah rumah papan yang terletak di Kampung Air, Tanjung Aru Lama selama 36 tahun yang telah memberi mereka perlindungan daripada kehidupan yang dibelenggu kemiskinan.

Chin Kon Siong, 69 tahun dan isterinya Vun Kon Chau amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya memiliki tempat berteduh dan untuk membesarkan keempat-empat anak mereka.

Walau bagaimanapun, rumah mereka kini sedang menghadapi ancaman kemungkinan akan runtuh disebabkan oleh keuzuran.. Mereka tidak lagi berupaya membiayai kos membaik pulih rumah tersebut.

Hanya seorang sahaja anak mereka yang sedang bekerja ketika ini, dan hasil daripada pendapatan itulah satu-satunya sumber yang digunakan bagi menyara hidup keluarga tersebut.

Dua orang lagi anak mereka masih belum mendapat sebarang pekerjaan dengan seorang lagi masih berada di bangku sekolah.

Akibat kedaifan keluarga ini, bantuan serta sokongan kewangan ikhlas daripada pihak-pihak yang bermurah hati amat diperlukan untuk membaiki rumah usang yang amat bernilai bagi mereka, agar ianya dapat terus digunakan.

Perkara ini mendapat perhatian Pakatan Rakyat Sabah yang melawat kediaman keluarga tersebut baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr.Hiew King Cheu bersama-sama dengan wakil-wakil cawangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Putatan Abd Zainal Bin Hj. Apin, Pengerusi Cawangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Tanjong Dr.Felix Chong dan juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah Edward Ewol Mujie.

Dalam lawatan tersebut, keluarga itu telah memaklumkan bahawa mereka telah pergi ke Jabatan Kebajikan untuk meminta bantuan tetapi tidak tahu bagaimana menguruskan penyediaan dokumen-dokumen yang dikehendaki.

Felix melahirkan harapan agar jabatan tersebut dapat menghulurkan bantuan penyediaan dokumen tersebut dan juga mengambil kira keadaan mereka.

Hiew menyatakan bahawa masih terdapat ramai keluarga miskin atau yang dikategorikan sebagai miskin di Tanjung Aru Lama.

Perkara ini memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan, kata Hiew lagi sambil menggesa kerajaan memenuhi slogan mereka iaitu ‘Rakyat Diutamakan’.

 

 

Gary Louis Supi