Pembelajaran dadah di sekolah

Kementerian Pelajaran diminta menyelitkan pembelajaran tentang bahaya dadah dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Moral di sekolah-sekolah di negara ini.

Ketika membuat seruan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan KemajuanTeknologi Maklumat Jainab Ahmad berkata langkah itu penting bagi menyedarkan golongan remaja mengenai ancaman dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kandungan pengajarannya perlu diteliti dan dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif seperti pendidikan seks.

“Saya menyokong pembelajaran bahaya dadah ini diajar di sekolah-sekolah. Kita mahu anak-anak kita mengetahui bahaya atau ancaman dadah di peringkat awal persekolahan lagi, sekaligus mendidik mereka menjadi insan yang berwibawa dan berguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program outreach Klinik Pulih dan Rawat 1Malaysia di Taman Kuala Menggatal, dekat sini hari ini.

Katanya kerajaan memandang serius masalah penyalahgunaan dadah di Sabah terutama pengambilan dadah jenis syabu.

“Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan, pengambilan dadah jenis syabu amat popular di kalangan golongan muda di Sabah dan salah satu penyebabnya ialah kehadirian pendatang tanpa izin di negeri ini.

“Saya difahamkan banyak kawasan setinggan yang didiami pendatang ini menjadi sarang aktiviti dadah dan saya harap semua pihak akan bekerjasama menangani masalah ini,” katanya.

Mengikut statistik terbaru agensi itu, sehingga Februari tahun ini, seramai 1,564 penagih dadah termasuk 96 wanita di negeri ini masih dalam proses pemulihan dengan Sandakan mencatatkan angka tertinggi iaitu 492 kes, diikuti Tawau (224) dan Kota Kinabalu (112).

— Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE