Hotel bajet tawar sewa bilik murah jadi ‘port maksiat’

Kadar sewa bilik yang murah antara RM 30 hingga RM 50 selama sejam menjadikan dua buah hotel bajet di Damansara Damai ini cukup popular sebagai ‘port’ maksiat bagi golongan remaja.

Ia berikutan dua pasangan remaja dicekup dalam satu serbuan keatas hotel bajet tersebut malam semalam.

Serbuan disertai kira-kira 10 anggota pencegah maksiat Masjid Al-Muhtadeen termasuk penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah Petaling Jaya.

Imam Masjid Al-Muhtadeen, Mohd Fadhil Mohd Nor berkata, serbuan dilakukan setelah menerima aduan daripada penduduk sekitar sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, pihaknya mendapati pemilik hotel tersebut bijak mengaburi mata pihak berkuasa dengan memberi pelbagai alasan termasuk tidak mempunyai kunci pendua ketika operasi dilakukan.

” Difahamkan hotel bajet tersebut dikenakan kompaun oleh penguatkuasa PBT kerana beroperasi tanpa lesen manakala sebuah lagi hotel dalam proses permohonan lesen,” katanya.

Dalam operasi itu, Mohd Fadhil berkata pasangan pertama masing-masing berusia 18 tahun tergamam ketika pintu bilik diketuk.

Menurutnya, selepas disoal siasat, pasangan tersebut mengakui baru selesai melakukan hubungan seks bersama pasangannya.

“Malah, mereka mengakui pernah menyewa hotel bajet beberapa kali, mereka memilih hotel bajet di situ kerana sewanya yang murah dan kawasannya yang  ‘selamat’.

“Selain itu, hotel bajet ini menawarkan sewa mengikut jam selain harganya yang murah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadhil berkata satu lagi pasangan berusia 31 dan 22 tahun yang merupakan kakitangan di sebuah kafe hospital turut dicekup.

Menurutnya, pintu bilik pasangan itu diketuk kira-kira 15 minit sebelum dibuka oleh seorang gadis.

“Ketika ditahan lelaki tersebut memberi alasan mahu menghantar pasangan kekasihnya pulang tetapi singgah sebentar di hotel tersebut untuk mandi,” katanya.