Rumah roboh akibat banjir kilat di Sungai Terap, Kedah

Rumah roboh akibat banjir kilat di Sungai Terap, Kedah

Bahagian dapur sebuah rumah berhampiran Sungai Terap di Kampung Terap Batu 11 dekat sini roboh malam tadi ekoran banjir kilat

Bahagian dapur sebuah rumah berhampiran Sungai Terap di Kampung Terap Batu 11 dekat sini roboh malam tadi ekoran banjir kilat. Kejadian berlaku kira-kira 10.50 malam.

Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) itu dihuni oleh 12 orang anak-beranak Sheh Md Saad Sheh Mansur, 49, lebih 20 tahun lalu.

Banjir kilat melibatkan 20 buah rumah di sekitar tebing sungai yang dinaiki air sehingga satu meter ekoran hujan lebat sejak pukul 5 petang semalam hingga tengah malam tadi. Rumah di kawasan tersebut hanya menunggu masa untuk runtuh kerana seringberlaku hakisan tanah setiap kali air melimpah tebing sungai apabila berlaku hujan lebat

Hakisan yang teruk sejak beberapa tahun lepas semakin mengecilkan kawasan tapak rumah.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Md Khuzai Khussani mengakui bahawa kawasan di situ menghadapi risiko kejadian tanah runtuh  jika masalah hakisan tidak diatasi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim, Rohana Mohd Yusuf yang mengunjungi rumah Sheh Md Saad turut menyampaikan bantuan.

Beberapa lagi kawasan rendah turut dinaiki air antaranya di Kampung Terat Batu di Mukim Sidam Kanan yang melibatkan empat buah rumah dan di Kampung Bukit Karangan, di Mukim Padang Meha yang melibatkan lima buah rumah juga dinaiki air tetapi surut pagi tadi.

Banjir turut melibatkan lebih 10 buah rumah di Taman Tiong dan KampungSungai Ular di sini

Di daerah Bandar Baharu pula, lebih 20 rumah di Kampung Banggol Rashid dilaporkan sedang dinaiki air akibat kenaikan paras air Sungai Kerian.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, DSP Helmi Aris berkata seramai 12 keluarga yang terdiri daripada 56 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Selama sejak tengah hari tadi.

“Paras air semain naik dan mungkin ramai lagi penduduk akan dipindahkan.” katanya.

Beliau berkata malam tadi sebanayak 40 buah rumah di dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Tengas di Bandar Baharu dan Kampung Majidi di Serdang telah mengalami banjir kilat tetapi air telah surut menjelang awal pagi tadi.

Tinjauan Bernama di Kampung Sungai Tengas hari ini mendapati ramai penduduk di sekitar kampung tersebut secara bergotong-royong membersihkan rumah mereka yang dilanda banjir berlumpur.

Terdapat juga sebuah kereta bomba sukarela dari Selama dengan lima orang anggota sama membantu penduduk membersihkan kawasan rumah mereka.

— BERNAMA