Penduduk Taman Aman bantah pembinaan jalan kondominium

 

Penduduk Taman Aman mempertikai kelulusan laluan keluar sementara masuk ke Kondominium Paramount melalui Jalan SS 22/44, Petaling jaya.

Mereka mendakwa pemaju projek kondominium tersebut telah mengambil kesempatan di atas perintah mahkamah memberi kebenaran sementara bagi membolehkan mereka membina jalan keluar masuk kekal ke kondominium itu melalui tersebut.

Salah seorang penduduk Abdullah Sani berkata, jalan tersebut selama ini tidak pernah wujud dan mahkamah memerintahkan jalan itu keluar masuk hanya dibina untuk menyiapkan projek kondominum tersebut bukannya menjadi laluan keluar masuk kekal.

Menurutnya, Sekarang pemaju menggunakan perintah mahkamah untuk membuka jalan keluar masuk kekal dan sebagai penduduk kami tidak bersetuju kerana perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan bersama.

“Sudah jelas dinyatakan bahawa jalan keluar masuk sementara itu boleh digunakan hanya untuk menyiapkan projek itu namun apa yang menghairankan projek kondominium kini sudahpun disiapkan sepenuhnya.

”Kalau diikutkan selepas projek pembinaan kondomium itu selesai jalan itu perlu ditutup semula dan pemaju kena ikut plan yang sudah diluluskan pada tahun 2005, persoalan sekarang jalan di SS22/44 ini baru sahaja hendak dibuka jadi di mana ketelusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani perkara ini,”katanya.

Menurutnya selain itu beberapa perkara tidak munasabah juga dipertikai bagaimana kelulusan projek kondominium boleh diluluskan sedangkan pada ketika projek itu disiapkan dengan langsung tiada jalan keluar masuk.

“Kalau diikutkan spesikasi dan kebenaran kelulusan untuk membina kondominium ini lazimnya jalan di sini harus sekurang –kurang mempunyai lebar 20 meter tetapi sekarang 10 meter pun tidak sampai,”katanya.

Jelasnya jika Jalan SS 1/26 hendak dijadikan jalan kekal untuk kondominium usahakan pembinaan jalan itu sahaja jangan ganggu Jalan SS 22/44.

Selain itu, penduduk juga mempertikai adakah jalan raya di perumahan itu sudah digazetkan untuk tujuan itu oleh Pejabat Tanah Daerah serta mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Telekom Malaysia.

”Kami ingin mengetahui bagaimana kelulusan juga boleh diberikan untuk jalan keluar masuk kekal yang bakal di bina Jalan SS 1/39 ke Jalan SS 21/12 sedangkan sebelum ini ianya tidak mendapat kebenaran daripada Putra LRT dan juga Tenaga Nasional Berhad (TNB) malah penduduk di Flat Taman Aman langsung tidak pernah diberitahu dan sekarang ini mereka membantah rancangan itu,”katanya.