Cadangan stok penimbal daging ayam akan dibincang di kabinet

Cadangan stok penimbal daging ayam akan dibincang di kabinet

Kertas cadangan penubuhan Program Stok Penimbal Ayam bagi memastikan bekalan daging ayam terkawal akan dibawa ke Kabinet minggu depan.

 

Kertas cadangan penubuhan Program Stok Penimbal Ayam bagi memastikan bekalan daging ayam terkawal akan dibawa ke Kabinet minggu depan.

Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata pelaksanaan program itu akan membabitkan sektor swasta  dengan bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

“Sektor swasta yang akan melaksanakannya, cuma kita akan bantu mereka, dari segi polisi dan mendapatkan pinjaman daripada bank.

“Bila berjaya, kita akan dapati harga ayam stabil dan tidak perlu mengimport ayam lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dua hari lepas, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata beliau akan membawa cadangan penubuhan program itu ke Kabinet bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan daging ayam itu selepas musim perayaan.

Abdul Aziz berkata pada masa ini, negara hanya mempunyai stok penimbal bagi beras dan jika inisiatif untuk mewujudkan stok penimbal ayam berjaya, ia akan diperluas kepada daging babi dan produk pertanian lain.

“Kerajaan dalam mood untuk mewujudkan stok penimbal bagi memastikan harga barangan terkawal sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat tiga syarikat besar menunjukkan minat untuk menyertai program itu.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan  Kepenggunaan bagi memantau harga produk pertanian terutama daripada ternakan seperti daging babi, ayam, lembu, kerbau, biri-biri, telur dan susu.

Beliau berkata sistem amaran awal akan diwujudkan untuk memaklumkan kepada kementerian berkenaan dan pengguna berhubung situasi yang boleh menyebabkan harga barangan itu naik terutama pada musim perayaan.

“Kami juga bekerjasama dengan persatuan berkenaan dengan telur, ayam dan daging, dan babi yang akan memberi kita maklumat, dan akan memaklumkan sama ada wujud keupayaan atau kebarangkalian harga sesuatu komoditi itu naik,” katanya.

— BERNAMA