Pasukan bantuan awal untuk Pulau Langkawi

Pasukan bantuan awal untuk Pulau Langkawi

Seramai 50 kakitangan beberapa jabatan di Langkawi akan didaftarkan sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) bagi menggerakkan bantuan awal sekiranya berlaku bencana di pulau itu.

Seramai 50 kakitangan beberapa jabatan di Langkawi akan didaftarkan sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) bagi menggerakkan bantuan awal sebelum bantuan sewajarnya diterima sekiranya berlaku bencana di pulau pelancongan itu.

Timbalan Pengerusi PBSMM Kedah Nasir Mustafa berkata ia bertujuan sebagai persediaan pasukan serta menambah lebih ramai sukarelawan terlibat dalam melaksanakan misi menyelamat di destinasi pelancongan itu.

“Ia memandangkan Langkawi jauh dari tanah besar Kedah. Dengan adanya pasukan sukarelawan diharap mereka dapat memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum mereka menerima bantuan susulan daripada pasukan penyelamat lain yang mungkin mengambil sedikit masa untuk sampai ke Langkawi.

“Mereka (sukarelawan) akan diberikan latihan khusus oleh pegawai PBSMM bagi membolehkan mereka bersedia dengan ilmu berkaitan dengan pertolongan cemas dalam menjalankan misi menyelamat dengan jayanya,” kata Nasir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Operasi Bencana PBSMM Kedah dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan PBSMM Kedah di sini hari  ini.

Majlis penyerahan sijil penghargaan disempurnakan oleh Pengerusi PBSMM Kedah Datuk Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Operasi Bencana dan Perkhidmatan Ambulans PBSMM Datuk Dr Bahari Abu Mansor.

Sijil penghargaan berkenaan diberikan kepada sukarelawan PBSMM di negeri ini yang menjalankan misi sukarelawan membantu mangsa banjir di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Setar ketika banjir besar pada 1 hingga 10 Nov tahun lalu.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Shafinaz dalam ucapannya meminta semua lapisan masyarakat di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas tampil ke depan menjadi sukarelawan PBSMM.

“Saya percaya ramai masyarakat yang ingin membantu dan menolong mangsa banjir tetapi terhalang kerana mereka kurang mahir dalam kerja-kerja bantuan bencana.

“Justeru mereka yang mahu melaksanakan niat murni itu boleh berurusan dengan pegawai PBSMM cawangan Kedah atau daerah bagi mendaftar menjadi sukarelawan PBSMM,” katanya.

Tunku Puteri Intan Shafinaz berkata PBSMM Kedah sedang merancang untuk memberi kursus dan latihan pertolongan cemas kepada penduduk kampung dalam usaha mewujudkan bantuan awal di setiap rumah.

Usaha ini memerlukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan misi berkenaan dan berharap Jabatan Kesihatan Negeri bekerjasama untuk membenarkan beberapa pegawai perubatan terlatih memberi kursus dan latihan kepada ahli PBSMM negeri dan daerah dalam usaha menjayakan misi tersebut, katanya.

— BERNAMA