Rais: Projek kampung wi-fi akan dibawa ke pendalaman Sarawak

Rais: Projek kampung wi-fi akan dibawa ke pendalaman Sarawak

Kerajaan akan menyegerakan penyaluran projek kampung tanpa wayar (wi-fi) ke seluruh negara memandangkan projek itu mendapat sambutan

Kerajaan akan menyegerakan penyaluran projek kampung tanpa wayar (wi-fi) ke seluruh negara memandangkan projek itu mendapat sambutan menggalakkan daripada generasi muda khasnya di kampung-kampung, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim.

Beliau berkata kementeriannya akan menjadikan projek berkenaan sebagai projek utama memandangkan kos untuk menyalurkannya bagi satu-satu kampung itu tidaklah begitu tinggi.

“Untuk itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pun diberi mandat supaya menyegerakan projek kampung tanpa wayar ke seluruh Negara dalam konteks kerjasama dengan Telco atau bersendirian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kampung tanpa wayar di Kampung Sungai Rotan, dekat sini hari ini.

Rais, yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata kampung tanpa wayar adalah projek yang akan menjalinkan semua kampung di seluruh negara menjelang setahun akan datang.

“Kita mempunyai tidak kurang daripada 2,200 ke 3,000 buah kampung di seluruh negara dan kita sudah mulakan program ini bagi memberi faedah penduduk kampung di seluruh tanah air.

Disebabkan projek ini baru dimulakan empat bulan lepas, setakat ini projek ini telah meliputi sebanyak 180 buah kampung,” katanya. Rais berkata beliau akan ke Sarawak minggu depan dan akan menyegerakan projek kampung tanpa wayar ini bagi kawasan pedalaman di Sarawak.

— BERNAMA