DBKL lulus 2.2 hektar tanah untuk pembinaan Gurdwara

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar hari ini meluluskan tiga lagi kawasan untuk dibangunkan sebagai rumah ibadat bagi kaum Sikh.

Surat kelulusan perizaban tanah kerajaan kepada tiga buah rumah ibadat Sikh iaitu di Sungai Besi, Jalan Padang Merbok dan Cheras itu diserahkan menterinya, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Nong Chik berkata menerusi kelulusan itu tapak tersebut adalah sah untuk digunakan dan dapat mengelakkannya disalahguna bagi tujuan lain.

“Kelulusan itu juga selaras dengan dasar kerajaan dalam memastikan penganut bukan Islam dijamin untuk melakukan ibadah dengan lebih selesa dan teratur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Setakat ini, katanya sejumlah 11 lot dengan keluasan 2.232 hektar untuk tujuan rumah ibadat (Gurdwara) di seluruh Wilayah Persekutuan telah diluluskan.

— BERNAMA

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE