Penjara Taiping dicadang sebagai muzium

Penjara Taiping dicadang sebagai muzium

Tidak tahu ke mana banduan akan dihantar untuk berdiam.

Kerajaan negeri Perak hari ini diminta mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya memindahkan Penjara Taiping ke kawasan baru yang lebih sesuai serta menjadikan bangunan penjara tertua negara itu sebagai sebuah muzium.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kubu Gajah, Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata langkah itu sejajar dengan proses pembangunan pesat Taping sebagai bandar warisan yang menyediakan pelbagai produk pelancongan dan warisan.

Beliau berkata kedudukan penjara berkenaan berusia 132 tahun itu di pusat bandar tidak lagi sesuai.

“Kawasan berkenaan boleh dimajukan dengan perancangan strategik sebagai tempat pelancongan dan warisan…pembangunan Muzium Penjara itu boleh dijalankan serentak dengan cadangan menjadikan stesen kereta api Taiping sebagai muzium,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

“Bukit Larut, Taman Tasek Taiping dan Zoo Taiping, Muzium Perak juga terletak di kawasan itu…kajian boleh dibuat dengan mengubahsuai penjara yang dibina pada tahun 1879 ini kepada muzium,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata cadangan yang beliau lontarkan itu wajar diberikan pertimbangan oleh kerajaan negeri.

– Bernama