Sukarnya membangun di Kampung Baru

Sukarnya membangun di Kampung Baru

Nasib Kampung Baru yang terletak dalam kawasan segitiga emas Kuala Lumpur.

Kampung Baru terletak di tengah bandar raya dan termasuk dalam kawasan segitiga emas paling berharga, iaitu Bukit Bintang, KLCC, Kota Raya, Pudu dan Chow Kit, tetapi pembangunan masih tersekat-sekat. Sudah dua dekad berlalu, kawasan berkeluasan kira-kira 1.5 hektar seolah-olah ‘kekal’ tanpa banyak perubahan.


Mengimbas kembali, bapa arkitek pembangunan Kuala Lumpur, yang juga bekas Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Elyas Omar, pernah membangunkan Kampung Baru sejak 1981 hingga 1992 namun menemui kegagalan.

Ini kerana rancangan membangunkan kawasan Kampung Baru perlu dilaksanakan secara berkeseluruhan, seperti KLCC, bukannya secara berperingkat-peringkat.

Masalah dihadapi ialah kesukaran untuk mengenalpasti pemilik tanah memandangkan ada di antara mereka tidak menetap di situ, malah ada yang telah meninggal dunia.

Lantaran itu, Komunitikini meninjau untuk mendapatkan penjelasan sebenar daripada penduduk berkenaan isu tersebut.

Menurut salah seorang penduduk, Ramli Masdar, 56, pada mulanya bila kerajaan hendak membangun dan memajukan Kampung Baru baru-baru ini, ramai penduduk di sini tertanya-tanya adakah cadangan tersebut sekadar omong konsong semata-mata.

Menurutnya, ini kerana kawasan di sini merupakan tanah Malay Agriculture Settlement (MAS), yang mempunyai enakmen sendiri memandangkan status tanah pertanian.

“Kalau nak majukan kawasan, siapa yang hendak majukannya? Kami mendengar kerajaan bercadang untuk menggubal status tanah dan menyerahkan kepada DBKL dipertanggunjawabkan untuk memajukan kawasan ini.

“Penduduk membantah kerana mendapati bahawa pihak berkuasa tempatan tidak telus daripada segi pengambilan tanah bagi membina kemudahan LRT Star dan pembesaran jalan di Jalan Kelab Sultan Sulaiman kerana menjual tanah dengan harga berbeza,” kata Ramli, yang merupakan generasi ketiga menetap di Kampung Baru.

Selain itu, Ramli berkata bahawa bagi mengelakkan berlakunya kejadian sama berulang, penduduk bersepakat mencadangkan kepada kerajaan mewujudkan Perbadanan Kampung Baru pada tahun lepas.

“Oleh sebab itulah wujudnya lembaga MAS terdiri daripada wakil NGO itu sendiri, memandangkan idea penubuhan ini datangnya daripada penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada Persatuan Anak-anak Kampung Baru (Pakam).

Ditanya sama ada bersetuju membangunkan kawasan Kampung Baru, beliau menyokong penuh usaha dan langkah kerajaan membangunkan semula kawasan ini.

Malah, beliau berpendapat tiada sebab untuk penduduk majoritinya 99.8 peratus Melayu tinggal di kawasan ini menolak pembangunan dilaksanakan pada masa hadapan.

“Mungkin makan masa 20 tahun (pembangunan) tetapi masa itu amat singkat. Saya dengar untuk bangunkan KLCC pun ambil masa 20 tahun juga,” ujarnya.

Ditanya mengapa ada sebahagian penduduk membantah pembangunan, menurutnya, mungkin mereka yang kebanyakan berusia tidak faham keadaan dan situasi sebenar.

“Mungkin tiada penjelasan diberikan, ada dalam kain rentang tertera “tidak kami halalkan tanah ini untuk perbadanan Kg Baru”. “Halal” itu bermaksud seolah kerajaan mahu merampas tanah dan menghalau mereka keluar tanpa memberikan pampasan.

Sehubungan itu, Ramli berkata, penduduk Kampung Baru perlu berpandangan jauh kerana projek dibangunkan ini sememangnya realistik dan bagus untuk keturunan akan datang.

“Saya melihat kerajaan cuba menolong, iaitu daripada segi ketelusan membangunkan Kampung Baru dan menjaga maruah orang Melayu kerana Kampung Baru betul-betul dikelilingi pembangunan; tidak malukah kita sekiranya pelancong melihat keadaan sekeliling kampung sekali gus memberikan unsur negatif kepada luar.

“Kalau kita (warga emas) tak merasa pembangunan sekarang tidak mengapa. Jangan sampai peribahasa, ‘cucu datang kat kubur kita kencing berdiri, sudahlah,” selorohnya.

Zawriyah Mat Ninggal

Nenek tak nak pindah

Zawriyah Mat Ninggal, 76, yang merupakan generasi kedua, pula membantah cadangan kerajaan untuk meroboh dan membangunkan semula Kampung Baru.

Menurutnya, tindakan itu menggambarkan seolah kerajaan cuba mengusir dan mengambil tanah secara paksa daripada penduduk.

“Kalau ada penduduk yang setuju dengan cadangan itu, pergilah ambil rumah dan tanah mereka, buat apa nak ambil tanah nenek pula.

“Nenek dah tua dan tak larat nak bekerja, hanya dapat sumber mata pencarian dengan menyewa bilik kepada orang luar. Tindakan mereka seolah mahu menutup pintu rezeki nenek,” katanya, yang mempunyai lapan bilik sewa.

Mengulas lanjut, Zawriyah berkata sepatutnya sebelum kerajaan bercadang untuk melaksanakan rancangan membangunkan Kampung Baru, pihak berkuasa sepatutnya berjumpa dengan penduduk dahulu.

Menurutnya, sewajarnya mereka kena pergi rumah ke rumah, buat bancian, jumpa semua pemilik tanah, dan bertanya mereka sama ada bersetuju atau tidak.

“Ini tidak, nenek dengar dan tengok dalam televisyen baru-baru ini, Menteri Wilayah, Raja Nong Chik umum yang 95 peratus penduduk setuju pembangunan dilaksanakan di kawasan ini.

“Mana ada mereka ada jumpa penduduk, semua itu tipu belaka, tidak kiralah kalau mereka tawarkan kepada nenek RM4 juta sekalipun nenek tak nak pindah,” tegasnya.

Peniaga mahu tapak perniagaan

Zulkifli Zainal Abidin

Sementara itu, pengusaha kedai songkok, Zulkifli Zainal Abidin, 34, mahu kerajaan bertimbang rasa dengan memberikan peluang dan tapak perniagaan kepada peniaga sekitar.

Menurutnya ia memandangkan kerana beliau hanya menyewa kedai daripada pemilik tanah di sini.

“Saya mengusahakan perniagaan membuat songkok sejak lapan tahun lalu, memperolehi pendapatan anggaran sebanyak RM4,000 sebulan.

“Sekiranya pembangunan dilaksanakan di kawasan ini adakah kerajaan akan memberikan tapak semula kepada peniaga,” soalnya.

Raja Baru Kampung Baru?