Cuaca mengganas di Kuala Kedah

Cuaca mengganas di Kuala Kedah

“Saya takut sangat pada masa tu dan suami saya terus laungkan azan,” kata seorang mangsa.

Lebih 30 rumah di Mukim Kubang Rotan, Kuala Kedah dekat sini mengalami kerosakan selepas dilanda ribut petang kelmarin.

Antara kawasan terbabit ialah Taman Seri Abadi, Taman Samudera, Kampung Tambak Bunga, Tepi Laut, Kubang Bongor dan Sematang Bongak.

Fatimah Dahman, 47, dari Taman Samudera, berkata ketika kejadian pukul 5 petang itu angin bertiup kencang sehingga mengakibatkan semua bahagian bumbung rumahnya diterbangkan.

“Saya pergi selamatkan bayi yang saya asuh berusia 11 bulan dalam buaian…kemudian saya ke depan rumah dan lihat bumbung semua dah hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini.

Peniaga air dan rojak di taman yang sama, Nornatasya Abdullah, 39, pula berkata dia ternampak angin berpusing berwarna putih di padang bola berhampiran.

“Saya takut sangat pada masa tu dan suami saya terus laungkan azan,” kata Nornatasya.

Jabatan Meteorologi Bayan Lepas ketika dihubungi berkata, keadaan cuaca dengan ribut petir dan hujan di satu dua tempat di Kedah akan berterusan lebih kurang seminggu lagi.

Menurut jurucakapnya ia merupakan keadaan biasa pada masa ini; panas pada waktu siang dan hujan pada lewat petang atau malam.

Sabtu lalu, 14 buah rumah di kampung Sungai Baru, Belida di Pendang mengalami kerosakan selepas bumbung tercabut diterbangkan angin kuat.

Ribut turut melanda Langkawi juga menyebabkan empat buah rumah di kampung Tanjung Kedawang mengalami kerosakan dalam kejadian 5.45 petang Sabtu.

— Bernama