Mayat lelaki terbunuh dijumpa dekat Gunung Jerai

Mayat lelaki terbunuh dijumpa dekat Gunung Jerai

Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati dibunuh, ditemui berhampiran puncak Gunung Jerai baru-baru ini.

Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati dibunuh, ditemui berhampiran puncak Gunung Jerai baru-baru ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Supt Low Thiang Huat berkata mayat dengan beberapa liang kesan tusukan senjata tajam itu ditemui oleh seorang lelaki yang sedang berjogging sekitar gunung berkenaan pada kira-kira pukul 8pagi.

“Pemeriksaan mendapati bahagian leher mayat itu terdapat kesan ia ditikam sehingga tembus, dan satu lagi kesan tikaman dikesan di bahagian belakang badan,” katanya ketika ditemui di lokasi mayat dijumpai di sini hari ini.

Beliau berkata mayat lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an itu ditemui dalam keadaan hanya berseluar dalam berwarna merah, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampakkan di kawasan itu, kira-kira lima kilometer dari puncak Gunung Jerai.

Menurutnya identiti lelaki yang dipercayai dari kaum Cina itu masih belum dikenal pasti dan tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.

Low berkata lelaki itu dipercayai mati dalam tempoh tidak lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui, dan polis mengklasifikasikan siasatan penemuan mayat itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

— Bernama