Denda RM2,500 kerana miliki dadah

Denda RM2,500 kerana miliki dadah

Tertuduh Rajis Otok, 21, ditahan oleh sepasukan anggota polis narkotik IPD Sandakan di tepi jalan Kampung Gas di Batu Sapi pada kira-kira pukul 12.10 tengahari kerana memiliki dadah.

Mahkamah Majistret di sini telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 terhadap seorang lelaki warga tempatan selepas beliau didapati bersalah memiliki sejenis dadah terlarang.

Hukuman itu dijatuhkan ke atas Rajis Otok, 21 tahun, setelah  beliau mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut pada 6hb Februari baru-baru ini.

Fakta kes menyebut beliau telah ditahan oleh sepasukan anggota polis narkotik IPD Sandakan di tepi jalan Kampung Gas di Batu Sapi pada kira-kira pukul 12.10 tengahari.

Pihak polis telah mengambil satu paket plastik berisi ketulan hablur dan satu lipatan kertas timah setelah tertuduh disyaki membuang sesuatu ke atas jalan raya di kawasan kampung tersebut.

Siasatan lanjut mendapati bahawa Rajis telah membawa dadah jenis Methamphetamine seberat 0.01 gram  dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Majari Awal Jari.

Sementara itu, dalam suatu lagi pendakwaan yang dijalankan oleh Inspektor Kumaran A/L  Nyanasagaran, seorang lelaki telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut ke atas tubuh badan sendiri.

Mohd Rahandi Nahrap, 29 tahun, telah ditahan ditahan pada 14 Februari baru-baru ini di pejabat Narkotik Balai Polis Sandakan kira-kira pukul 12.30 minit tengahari oleh anggota Narkotik IPD Sandakan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh adalah positif untuk dadah jenis Methamphetamine  dan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

 

 

Gary Louis Supi