Kempen pemakaian tali keledar belakang akan dipertingkatkan

Jabatan Keselamatan Jalan Raya Sabah akan terus mengadakan kempen kesedaran pemakaian tali pinggang keledar belakang secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan.

Tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai kepentingan pemakaian tali pinggang keledar belakang perlu terus ditingkatkan kerana bilangan kematian yang dicatatkan bagi penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar belakang di negeri ini, boleh dikatakan berada di tahap yang tinggi.

Pada tahun lepas sahaja, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Sabah menganggarkan sejumlah 150 kes kematian penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar belakang telah berlaku.

Pengarahnya, Herdianshah Abdul Karim berkata, kes kematian tersebut berlaku disebabkan kecuaian penumpang belakang yang tidak peka terhadap peraturan di jalan raya yang telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2009, di mana peraturan ini digunapakai semula pada awal Mac baru-baru ini.

Herdianshah berkata, “Peraturan pemakaian tali pinggang tersebut telah dikuatkuasakan bagi semua jenis kenderaan kecuali kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995.”

“ Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak memakai tali pinggang keledar belakang, kompaun  sebanyak RM300 akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.”katanya sambil menambah bahawa pemakaian tali pinggang keledar belakang tersebut perlu diutamakan demi keselamatan penumpang ketika menuju ke destinasi masing-masing.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE