Sumbangan basikal untuk pelajar mangsa banjir

Sumbangan basikal untuk pelajar mangsa banjir

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan basikal berkenaan yang kesemuanya bernilai RM33,000 sempena program Titian Kasih.

Sebanyak 100 pelajar daripada 33 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Perlis yang menjadi mangsa banjir dalam kejadian November tahun lalu, hari ini menerima bantuan basikal daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan basikal berkenaan yang kesemuanya bernilai RM33,000 sempena program Titian Kasih yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Bintong dekat sini.

Sempena majlis itu, baginda yang juga Pengerusi YTSP turut merasmikan surau sekolah berkenaan berharga RM30,000 yang dinamakan Surau Al-Falah dan merasmikan Galeri Nostalgia sekolah itu.

Dalam titah ucapan semasa merasmikan program itu, baginda menasihati generasi pelapis negara yang terdiri daripada para pelajar supaya sentiasa gigih menimba ilmu pengetahuan dan menanamkan sifat untuk terus belajar sepanjang hayat.

See also  Back to School programme eases financial burden

Baginda berbangga kerana Perlis kini berada pada landasan “negeri ilmu” berikutan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa memberi suntikan ilmu di pelbagai peringkat.

Pada masa ini, Perlis memiliki beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTPs), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Turut hadir pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Menteri Besar, Md Isa Sabu.

Sebelum itu ketibaan Raja Muda Perlis yang diiringi Menteri Besar Perlis serta Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat dengan berbasikal dari luar kawasan sekolah ke kawasan perhimpunna pelajar disambut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Hasan Ebau Noi dan para guru.

See also  Back to School programme eases financial burden

Raja Muda dan Raja Puan Muda sebelum itu melawat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dekat sini untuk menyempurnakan penyampaian biasiswa kecil YTSP kepada 25 pelajar dari 25 buah sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Kangar.

Setiap pelajar menerima biasiswa RM35 sebulan sepanjang masa mereka belajar di sekolah rendah.

Baginda turut menyampaikan sumbangan berupa baju kemeja T, botol minuman, buku tulis dan topi kepada 51 murid SRJKT, Sekolah Kebangsaan Putra dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Khoon Aik Kangar.

— BERNAMA