Persatuan Alumni Sekolah Islamiyah ditubuhkan di Tawau

Permohonan Persatuan Alumni Sekolah Islamiyah Tawau (ASIST) untuk didaftarkan sebagai sebuah persatuan telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pengerusi persatuan itu Amrullah Kamal menerima sijil pendaftaran persatuan itu di pejabat ROS di sini, hari ini.

Sekolah Islamiyah Tawau merupakan sekolah agama pertama di Sabah dan merupakan antara sekolah tertua di Tawau.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima sijil itu, Amrullah berkata persatuan akan memberi kerjasama kepada Ahli Lembaga Pentadbir dan Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan untuk apa juga aktiviti.

Katanya langkah pertama yang akan diambil persatuan  ialah mengesan bekas pelajar sekolah itu untuk mendaftar sebagai anggota persatuan.

Amrullah berkata bekas pelajar boleh menghubungi Setiausaha ASIST di 5-B, Tingkat Satu, Wisma Bumi, Jalan Dunlop, Tawau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Tawfiq Abu Bakar Titingan, yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan.
— BERNAMA

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE