BSN buka cawangan di Belaga, Sarawak

Perancangan terdekat Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membuka cawangan sosial yang terbaru adalah di daerah Belaga, Sarawak di mana pengoperasian cawangan ini akan dijangka bermula pada bulan Mei 2011.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif BSN (Perbankan Konsumer & Pembangunan Perniagaan), En Yunos Abd Ghani, pemilihan lokasi cadangan penubuhan cawangan di Belaga adalah berdasarkan kepada keperluan masyarakat di Belaga untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan di samping membantu merencanakan pembangunan di daerah Belaga.

Menurut Yunos, pada masa kini, penduduk Belaga mendapatkan perkhidmatan perbankan samada di Bintulu yang terletak 180km jarak perjalanannya ataupun di Kapit dengan perjalanan yang memakan masa selama 5-6 jam melalui bot ekspres.

Pembukaan cawangan di Belaga akan memberi keselesaan kepada lebih kurang 25,300 komuniti setempat untuk mendapatkan akses kepada kemudahan perbankan dan kewangan.

Pada tahun 2011, BSN akan terus memperkasakan mandatnya dalam menyediakan akses kewangan kepada komuniti-komuniti di kawasan-kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, di Sarawak sahaja BSN mempunyai 25 taburan rangkaian cawangan, 48 unit ATM, 6 unit Mesin Deposit Tunai dan 2 Unit Bank Bergerak yang beroperasi di Asajaya dan Bekenu di Sarawak. Dalam tahun 2011, BSN merancang untuk menambah 3 lagi Unit Bank Bergerak yang akan beroperasi di daerah Selangau, Tatau, Lubuk Antu, Engkilili, Julau dan Pakan.

Sementara itu, BSN telah merancang untuk membuka 3 lagi cawangan di Sabah (Beluran, Kinabatangan dan Telupid) dan menyediakan 1 unit Bank Bergerak yang akan beroperasi di Tongod dan Centre Point. Buat masa kini, Sabah mempunyai 26
buah rangkaian cawangan, 58 unit ATM, 6 unit Mesin Deposit Tunai dan 2 Unit Bank Begerak yang beroperasi di Pitas, Matuggong, Kinabatangan dan Beluran.

BSN akan terus progresif dalam memainkan peranan yang penting bagi memberi aksesibiliti kepada perkhidmatan kewangan untuk semua lapisan masyarakat melalui rangkaian cawangannya yang luas di seluruh Malaysia.

Maklumat mengenai Bank Simpanan Nasional (BSN) BSN merupakan sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 1 Disember, 1974. Semenjak penubuhannya, semua tugas dan tanggungjawab di bawah Akta Bank Simpanan Pejabat POS telah diambil alih oleh BSN.

Misi BSN ialah untuk menggalakkan tabungan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang bijak di kalangan rakyat Malaysia sejajar untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka. Kini BSN mempunyai lebih 5,000 orang kakitangan, 384 cawangan, 865 mesin teller automatik (ATM) dan 133 mesin deposit tunai (CDM) di seluruh negara. BSN mempunyai lebih 7 juta pelanggan di seluruh Malaysia dengan simpanan berjumlah RM 10.8 billion.

Bank ini telah melaksanakan inisiatif utama melalui proses transformasi dan perubahan baru bagi memastikan ia terus wujud berdaya saing dan mempunyai nilai yang kukuh hingga tahun-tahun yang akan datang. BSN akan terus mempertingkatkan perkhidmatan serta memperkembangkan produk-produk perbankan untuk kemudahan pelanggan. Produk-produk teras BSN termasuklah Pinjaman Persendirian, Pinjaman Perumahan, Pinjaman Mikro Kewangan, Sijil Simpanan Premium, Skim Perbankan Islam, Akaun Simpanan GIRO, Kad Debit BSNMatrix dan BSN Matrix-i dengan kemudahan MEPS, Kad Kredit VISA dan Mastercard. Untuk maklumat lanjut mengenai BSN, layari laman web www.mybsn.com.my.

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE