Polis Kuching cadang pasang pagar besi dan arah jangan sertai perhimpunan haram

Polis Kuching cadang pasang pagar besi dan arah jangan sertai perhimpunan haram

Polis bercadang untuk meningkatkan aspek keselamatan di pusat pelancongan popular dan kawasan yang sering berlaku jenayah di Bandaraya Kuching tahun ini.

Polis bercadang untuk meningkatkan aspek keselamatan di pusat pelancongan popular dan kawasan yang sering berlaku jenayah di Bandaraya Kuching tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kok Keong berkata salah satu strategi yang telah dipersetujui ialah memasang pagar besi di kawasan awam yang sering dikunjungi oleh pelancong tempatan dan asing untuk meminimumkan risiko kes ragut.

“Kami mengenal pasti beberapa kawasan panas seperti Tebingan Sungai Kuching dan dengan bantuan tiga majlis tempatan, kami harap kadar jenayah akan dapat diturunkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat telahpun diadakan dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPC) bulan lepas dan jika segala-galanya berjalan lancar, pelaksanaannya mungkin dimulakan menjelang Julai ini.

Mun berkata peruntukan bagi tujuan itu akan disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutuan dan disalurkan kepada ketiga-tiga majlis tempatan itu.

“Kami juga mahu jalan tertentu di Bandaraya Kuching yang kerap digunakan oleh pengguna jalan raya dan pejalan kaki supaya diterangi dengan memasang lebih
banyak lampu jalan,” katanya.

Beliau menolak penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di Bandaraya Kuching
kerana kosnya yang mahal.

Dalam perkembangan lain, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya
tidak menyertai perhimpunan haram yang dijadual diadakan hujung minggu ini.

“Kami telah mendapat maklumat bahawa terdapat kemungkinan perhimpunan haram diadakan di sini. Setakat ini motif di sebalik perhimpunan itu masih belum
diketahui tetapi jika mereka masih berhasrat meneruskannya, kami terpaksa
mengambil tindakan.

“Kami prihatin dengan keselamatan orang di lokasi perhimpunan yang tidak
bersalah, tolong jangan mengambil bahagian,” katanya.

– Bernama