Upin dan Ipin jadi bahan mempelajari Bahasa Melayu di China

Siri animasi kanak-kanak di televisen tempatan Upin dan Ipin menjadi bahan berkesan mempelajari bahasa Melayu di kalangan pelajar asing di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan University of Peking, China.

“Siri ini telah membantu mempermudahkan lagi penguasaan komunikasi bahasa Melayu di Beijing dan ia menjadi antara rancangan yang disukai oleh pelajar asing di China,” kata Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu di BFSU, Profesor Dr Awang Sariyan.

Upin dan Ipin mula disiar di TV9 pada bulan Ramadan 2007 yang bertujuan mendidik kanak-kanak tentang ibadah berpuasa.

Ia kini memasuki musim keempat yang rancangannya boleh turut diikuti dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet dan berjaya dipasarkan ke Indonesia.

Di atas kejayaan menambat hati penonton serantau, siri ini disenarai dalam Malaysia Book of Records tahun ini sebagai “Animasi Paling Berjaya”.

Awang berkata banyak VCD Upin dan Ipin didapati dimiliki oleh pelajar di BFSU yang kebanyakannya mereka perolehi dengan cara membeli terus dari pengedar  di Malaysia.

Sehubungan iu beliau menggesa penerbit filem animasi di Negara ini supaya memperbanyakkan lagi penerbitan mereka kerana pembelajaran bahasa Melayu melalui VCD kini semakin popular dan mempermudahkan pelajar asing menguasainya.

“Usaha menerbitkan perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu perlu dilakukan manakala seni dipergiatkan lagi bagi mengembangkan budaya belajar melalui wahana teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata usaha seumpama itu sesuai dengan resolusi Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011 yang berakhir di sini hari ini.

Awang berharap kegiatan kebahasaan yang kreatif dan inovatif bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu terutama kepada generasi muda diperhebat dan diperbanyakkan dalam memastikan bahasa Melayu terus mekar dan terus maju.

– Bernama

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE