Sabah terima RM100 juta untuk projek infrastruktur awam

Sabah terima RM100 juta untuk projek infrastruktur awam

Negeri Sabah yang menerima RM100 juta bagi tujuan Projek Infrastruktur Awam merupakan penerima kedua tertinggi selepas Sarawak dan menduduki tempat kelima dalam perlaksanaan projek-projek tersebut.

Sabah merupakan penerima kedua tertinggi selepas Sarawak, iaitu sebanyak RM100 juta, bagi Projek Infrastruktur Awam (PIA) di seluruh negara.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Hj. Aman, ketika berucap melancarkan Majlis Pengundian Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam dan Projek Infrastruktur Asas Daerah Sandakan di Dewan Sri Libaran, dekat sini.

Musa juga berkata bahawa Sabah ketika ini berada pada kedudukan lima terbaik di negara ini dalam melaksanakan projek-projek tersebut.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha menjadikan negeri ini yang terbaik didalam melaksanakan PIA dan juga Projek Infrastruktur Asas (PIAS),”  ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sepanjang tahun 2009, prestasi kontraktor-kontraktor  di Sabah adalah memuaskan dimana hampir 100 peratus projek dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Musa berkata, “Prestasi baik tersebut perlu diteruskan dan semua kontraktor perlu mengutamakan kualiti kerja mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.”

“ Kontraktor juga perlu menyiapkan projek dalam tempoh 4 – 12 minggu bagi memastikan nikmat pembangunan dapat dirasai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.”kata beliau lagi sambil menambah bahawa sebanyak 139 kontraktor terlibat dalam cabutan undian bagi 83 projek PIA dan PIAS di Sandakan.

Gary Louis Supi