Pil kuda bernilai RM427,000 dirampas Polis Kelantan

Pil kuda bernilai RM427,000 dirampas Polis Kelantan

Rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun; lelaki yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Polis Kelantan merampas lebih 21,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM427,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Nilam Puri di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Supt Md Azmi Othman, berkata seorang lelaki berumur lingkungan 20an ditahan ketika cuba melarikan diri daripada rumah itu ketika serbuan pada pukul 8.30 pagi.

“Ini rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun dan kita percaya segala dadah ini untuk pasaran tempatan yang diperolehi dari negara jiran.

“Rampasan dan tangkapan ini adalah hasil maklumat awam dan kesemua dadah itu ditemui dalam rumah berkenaan,” katanya.

Md Azmi berkata berikutan tangkapan itu, polis menemui wang tunai lebihRM73,000 dalam but sebuah kereta selain menyita sebuah lagi kereta lain.

“Lelaki itu telah ditahan reman sehingga 19 Mac ini untuk membantu siasatan.Lelaki itu yang merupakan seorang penganggur juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

— Bernama