Jalanraya Sapulut-Kalabakan hanya penuh dengan lubang

Jalanraya Sapulut-Kalabakan hanya penuh dengan lubang

Lebuhraya yang sepatutnya memberi keselesaan kepada pengguna jalanraya kini telah menjadi jalanraya yang hanya diturap dengan batu-batu kecil dan menyebabkan banyak pengguna jalanraya tidak mahu menggunakan jalan tersebut.

Lebih 10 tahun yang lepas suatu pengumuman dilakukan mengenai jalanraya Sapulut -Kalabakan yang akan menghubungkan Kota Kinabalu dan Tawau akan diturap sepenuhnya.

Usaha ini bukan sahaja memberikan keselesaan, tetapi  juga menyediakan altenatif kepada pengguna jalanraya untuk pergi ke Tawau selain menggunakan jalanraya yang sedia ada.

Namun, projek bernilai jutaan ringgit itu yang sepatutnya disiapkan dengan tahap lebuhraya, tidak menurut pelan asal.

Projek lebuhraya yang banyak cacat- cela ini, pernah dipertikaikan dalam laporan Jabatan Audit Negara.

Osmal Pisu, 54, memberitahu Komunitikini bahawa baru-baru ini dia telah melalui jalan tersebut dan merasa kecewa dengan keadaan jalanraya itu terutamanya di kawasan Pegalungan kira-kira 117km daripada Keningau.

“ Jalanraya di situ sedang terancam dan kemungkinan akan terputus. Separuh daripada tanah di jalanraya tersebut telah tenggelam dan ini diakibatkan oleh hasil rekaan yang tidak baik dan juga kekurangan corong (culvert)  untuk membenarkan pengaliran air semulajadi dibawah paras permukaan jalanraya,”ujar Osmal.

Osmal berkata bahawa, hanya sebahagian sahaja jalanraya tersebut yang dapat digunakan dan ini menyebabkan kesesakan berlaku kerana setiap kenderaan perlu menanti giliran masing-masing.

Menurut beliau lagi,  perkara ini telah pun dilaporkan oleh salah sebuah akhbar tempatan di sini pada Disember tahun lepas, tetapi, sehingga hari ini tiada apa-apa tindakan yang dibuat untuk membetulkan jalan tersebut.

Laporan Jabatan Audit Negara tahun 2008, menyatakan bahawa hasil kerja yang disiapkan hanya jalan raya berbatu ( gravel) sejauh 145km dengan pelbagai kerosakan pada permukaan jalanraya, bahu jalan, tebing/cenuram dan longkang.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kerja penyiasatan tanah tidak dilaksanakan dengan sempurna mengakibatkan banyak bahan tidak sesuai seperti batang balak digunakan untuk membuat jalan.

“Maka dengan ini tidak hairanlah mengapa ramai orang sebelum saya telah merungut dan lebih senang pergi ke Tawau menggunakan jalanraya yang perlu melalui Ranau,” kata Osmal lagi dan menambah bahawa beliau sendiri tidak ingin mengikuti jalan Sapulut- Kalabakan lagi.

 

Gary Louis Supi