Jakim anjurkan Persidangan Mufti-Mufti Negara Asean

Jakim anjurkan Persidangan Mufti-Mufti Negara Asean

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat julung kalinya akan menganjurkan Persidangan Mufti-Mufti Negara Asean yang dijangka diadakan Jun ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat julung kalinya akan menganjurkan Persidangan Mufti-Mufti Negara Asean yang dijangka diadakan Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata objektif penganjuran persidangan itu adalah untuk mengukuhkan jaringan lestari yang strategik antara institusi-institusi Fatwa di negara Asean.

“Kita juga ingin mewujudkan perkongsian pintar dan dialog intelek dengan para mufti dan ilmuan dari institusi fatwa dalam dan luar negara ke arah membina sebuah institusi kefatwaan yang berwibawa dan berwawasan,” katanya menjawab soalan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata persidangan itu boleh dijadikan platform untuk bertukar pandangan dan maklumbalas mengenai isu semasa yang melibatkan umat Islam di seluruh dunia ke arah mewujudkan perpaduan yang mantap di kalangan umat Islam.

Selain itu, Jakim juga akan menganjurkan Ijtimak Mufti dan Ahli-Ahli Majlis Fatwa seluruh negara buat pertama kali yang dijangka diadakan akhir bulan ini.

Beliau berkata program itu antaranya akan mewujudkan mekanisme kesepakatan dan hubungan kerjasama yang padu dengan semua institusi fatwa di Malaysia bagi memperkukuhkan fungsi dan peranan fatwa di kalangan umat Islam.

— Bernama