Wanita nyaris rentung apabila kereta mewahnya terbakar

Wanita nyaris rentung apabila kereta mewahnya terbakar

Seorang wanita dalam lingkungan 40an nyaris rentung apabila kereta barunya terbakar secara tiba-tiba ketika memandu di Lebuhraya Hubungan Timur Barat.

Seorang wanita nyaris rentung apabila  kereta Volkswagen baru dibeli dua hari lepas tiba-tiba terbakar ketika sedang memandu di Lebuhraya Hubungan Timur Barat malam tadi.

Ketua Balai Bomba Taman Desa, Mohamad Hisham Sidik berkata, wanita berusia dalam lingkungan 40an berjaya  menyelamatkan diri keluar daripada kenderaannya.

Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba Taman Desa yang secara kebetulan berada berdekatan dengan lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran daripada terus marak.

“Pada waktu itu kami sedang  membuat ujian pemeriksaan ke atas pili bomba merupakan rutin harian bersama anggota dibawah kendaliannya di sekitar kawasan Seputeh.”

“Kami langsung tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berlakunya kebakaran,” katanya ditemui Komunitikini di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Mohamad Hisham berkata, orang awam menaiki motosikal melaporkan kejadian tersebut apabila secara kebetulan terserempak dengan anggotanya yang berada di kawasan sekitar Seputeh.

Susulan itu, menurutnya, beliau bersama anggotanya  bergegas ke tempat kejadian dan terpaksa melawan arus lebuh raya tersebut untuk memadamkan kebakaran.

“Kami nekad melawan arus lebuh raya  kerana menghadapi kesukaran melakukan pusing u-turn kira-kira satu kilometer dihadapan,” katanya.

Mohamad Hisham berkata sebuah jentera, dua buah motosikal termasuk 11 anggota dan pegawai tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10.38 malam dan mendapati sebuah kereta Volkswagen sedang terbakar.

Menurutnya, kira-kira jam 10.53 malam barulah anggotanya berjaya memadamkan kebakaran.

“Memang bernasib baik kerana kami berada berdekatan dan kejadian ini berlaku secara kebetulan,” katanya.

Mohamad Hisham berkata mereka menghadapi masalah ketika hendak memadamkan kebakaran kerana sewaktu mereka sampai api sedang marak.

Menurutnya, anggotanya menggunakan pemadam jenis serbuk kerana menghadapi kesukaran memadam dengan air.

“Memandangkan ia kereta mewah, saya menyerahkan kepada unit siasatan bomba untuk mengambil tindakan selanjutnya.

” Saya difahamkan, wanita itu membuat laporan polis di balai polis berdekatan,” ujar Mohamad Hisham.