Hikayat Merong Mahawangsa epik terhebat negara

Hikayat Merong Mahawangsa epik terhebat negara

Dengan hanya menelan belanja RM 8 juta, Yusry mampu menghasilkan sebuah filem yang memerlukan penelitian khusus dalam hal berkaitan imej generated berkomputer (CGI).

Filem epik pertama arahan Yusry Abdul Halim, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) wajar diberi pujian memandangkan filem itu membawa dimensi baru dalam industri perfileman Malaysia.

Dengan hanya menelan belanja RM 8 juta, Yusry mampu menghasilkan sebuah filem yang memerlukan penelitian khusus dalam hal berkaitan imej generated berkomputer (CGI).

Rekaan set, kostum serta aksi yang dipaparkan juga membuatkan penonton tidak terasa tempoh tayangan selama 1 jam 50 minit itu.

Meskipun bergenre epik, Yusry sempat menyelitkan unsur jenaka yang mampu membuat penonton ketawa.

Lupakan sahaja jika ada terdapat sedikit cacat-cela melibatkan penggunaan CGI kerana filem ini membawa kelainan dalam industri perfileman hingga sudah diedarkan di 72 negara luar.

Segala teknik dan syot yang dipaparkan kadang-kala membuatkan penonton bagai tidak sabar menanti babak seterusnya. Filem ini juga tidak terlalu meleret dan aksi pertarungan banyak dipaparkan.

HMM membawa penonton mengimbau pada tahun 120 Masehi dengan kisah kehebatan empayar Rome, China, Parsi dan kerajaan lama yang ada pada masa itu.

HMM mengisahkan kehebatan Merong Mahawangsa yang belayar merentasi benua ke benua dan cabarannya untuk mengahwini anak raja Rom dengan puteri China demi mengukuhkan hubungan politik kedua kerajaan.

Hikayat ini dicatat keturunannya yang memerintah Langkasuka, Sultan Muzaffar Syah, sultan pertama yang beragama Islam.

HMM dibintangi Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Ummi Nazeera, Khir Rahman dan Craig Fong, Nell Ng, Keith Chong, Jehan Miskin, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam dan Faiz Aizuddin.

Bagi merasai sendiri kehebatan filem kelapan dari KRU, saksikan di pawagam pada 10 Mac ini.