Sarawak sasar empat juta pelancong

Sarawak menyasarkan kedatangan empat juta pelancong tahun ini berdasarkan daripada penambahbaikkan kemudahan penerbangan dan penawaran kadar tambang berpatutan yang boleh menggalakkan lebih banyak pakej pelancongan di Bumi Kenyalang.

Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Talib Zulpilip, berkata pada tahun lepas dan tahun 2009, sejumlah 3.2 juta pelancong berkunjung ke Sarawak.

“Ekoran keadaan ekonomi yang suram, jumlah pelancong asing ke negeri ini berkurangan dalam tempoh dua tahun lepas. Kami harap keadaan ini akan berubah positif tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pelancongan negeri di sini hari ini.

Talib berkata lebih banyak syarikat penerbangan tambang murah mengadakan penerbangan ke Sarawak seperti Firefly dan pengenalan penerbangan terus dari negara-negara Asia seperti Korea dan Jepun oleh syarikat penerbangan terkemuka dijangka menggalakkan lagi industri pelancongan Sarawak untuk kembali ke landasan yang betul tahun ini.

Meskipun kedatangan pelancong asing mencatatkan pengurangan daripada 2.1 juta pada 2009 kepada 1.8 juta tahun lepas, aliran kedatangan pelancong tempatan positif, katanya.

Talib berkata sejumlah 1.37 juta pelancong tempatan melawat Sarawak tahun lepas berbanding 1.16 juta pelancong pada 2009, dengan ketibaan pelancong dari Sabah mencatatkan peningkatan.

Bagi memberikan imej positif bagi sektor pelancongan Sarawak, kata beliau akhbar tempatan seharusnya tidak mensensasikan kes-kes jenayah yang berlaku terhadap pelancong asing.

Katanya laporan keterlaluan sehingga dijadikan tajuk utama akhbar akan memberi gambaran yang salah bahawa Sarawak bukan sebuah negeri selamat, dan laporan seumpamanya pula bercanggah dengan jumlah kes ragut yang berlaku di seluruh negeri yang secara keseluruhnya tidak serius.

Menurut statistik Polis Sarawak terdapat tiga kes ragut membabitkan pelancong asing pada 2008, 13 kes (2009) dan 29 kes tahun lepas.

“Sarawak sebuah negeri yang selamat,” kata Talib.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE