Raja Ahmad: Jangan abaikan stesen kereta api Pondok Tanjung

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diminta tidak mengabaikan  stesen kereta api Pondok Tanjung di Taiping apabila perkhidmatan kereta api laluan berkembar beroperasi nanti.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata stesen berkenaan telah menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang penting kepada penduduk setempat dan sekitar Selama serta Batu Kurau.

“Di dalam pelan pembinaan laluan keretapi berkembar ke utara, KTMB tidak memasukkan stesen ini. Sekiranya ia tidak dibina, kawasan itu akan terus terpinggir dari arus pembangunan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata KTMB harus sedar bahawa kawasan berkenaan berada dalam kawasan pembangunan pertanian dan pendidikan yang dirancang oleh kerajaan negeri Perak.

“Kereta api ialah satu-satunya pengangkutan awam yang ada di kawasan itu bagi orang ramai melakukan perjalanan ke utara dan selatan,” katanya.

Menurutnya, stesen yang dikekalkan seperti di Bukit Merah dan Bagan Serai tidak memberikan impak besar kepada pembangunan sekitar kerana berbanding dengan Pondok Tanjung, kedua-dua kawasan berkenaan terletak berhampiran lebuh raya dan juga jalan utama persekutuan.

– Bernama