Senarai barang dengan DNA babi akan diumumkan

Senarai barang dengan DNA babi akan diumumkan

Senarai nama produk farmaseutikal tempatan yang didapati positif mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi akan diumumkan bagi memastikan umat Islam tidak terbeli produk itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata usaha juga sedang diambil bagi produk dibungkus dengan kapsul
gelatin positif DNA babi itu tidak dibenarkan dijual di kaunter terbuka di semua
premis seluruh negara.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat
khas untuk membuat semakan terhadap produk farmaseutikal berkenaan untuk
disenaraikan.

“Senarai produk ini juga akan diumumkan sebagai produk haram kepada umat
Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan
Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Sekolah Kebangsaan Gurun.

Jamil Khir mengulas laporan akhbar Khamis lalu mengenai kajian Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi terhadap 15 sampel produk farmaseutikal tempatan
yang dibungkus dengan kapsul gelatin yang diambil secara rambang dari pasaran
dan didapati tiga daripada produk itu positif DNA babi.

Kehadiran DNA itu dikesan menggunakan kit diagnosis yang dibangunkan sebuah
syarikat multinasional tempatan menerusi projek perintis bersama kementerian itu
baru-baru ini dalam usaha membangunkan produk standard halal di Malaysia.

– Bernama