Konstabel polis mati lemas

 Seorang konstabel dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur lemas selepas motosikal dinaikinya terbabas lalu merempuh tembok sebelum terhumban ke dalam longkang di Taman Desa Jaya, Kepong di sini awal hari ini.

K.Devaraju Naidu, 29, sedang memandu motosikal Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ehsan bila kejadian berlaku pada pukul 3 pagi.

“Dipercayai motosikalnya terbabas lalu bergesel dengan pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 2 x 2 meter yang dipenuhi air akibat hujan lebat.

“Mayat mangsa ditemui pada jam lebih kurang 7.30 pagi kira-kira 200 meter dari tempat kejadian akibat dihanyutkan oleh arus longkang,” kata Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Ismail Ibrahim ketika dihubungi Bernama di sini. 

Beliau berkata polis tidak menemui apa-apa kesan kecederaan ke atas mayat mangsa kecuali kecederaan di bibir bahagian kanan.

– Bernama