Saman Trafik: Kaunter Pejabat Pos beroperasi hujung minggu

Saman Trafik: Kaunter Pejabat Pos beroperasi hujung minggu

“Pada hari Sabtu, Pejabat Pos akan mula beroperasi pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 1.30 petang,” kata Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Tan Sri Aseh Che Mat

Berikutan keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melanjutkan tempoh diskaun 50 peratus terhadap saman trafik sehingga 10 Mac ini, Pejabat Pos di Lembah Klang serta Pejabat Pos Besar di setiap negeri akan dibuka pada Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Aseh Che Mat, berkata perkhidmatan yang turut beroperasi pada hari biasa itu, adalah bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran saman trafik pada hujung minggu.

“Kaunter akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad sehingga tamat tempoh lanjutan pada 10 Mac, dan selepas itu ianya akan dibuka seperti biasa.

“Pada hari Sabtu, Pejabat Pos akan mula beroperasi pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 1.30 petang,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pos Malaysia Berhad.

Bagi Terengganu, Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu dan Pejabat Pos Pauh akan beroperasi pada hari Sabtu memandangkan esok adalah cuti sempena ulang tahun Pertabalan Sultan Terengganu.

Beliau berkata kaunter semakan dan bayaran saman PDRM di Pos Malaysia Berhad telah mula beroperasi pada 1 Ogos lepas di lima cawangan di sekitar Lembah Klang dan keseluruhannya sebanyak 703 cawangan di seluruh negara kini menyediakan perkhidmatan itu.

Aseh berkata sehingga kini sejumlah RM66 juta saman telah dijelaskan di Pejabat Pos di seluruh negara oleh pesalah trafik sejak Ogos tahun lepas.

– Bernama