Imej Kota Bharu terjejas?

Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan (JKMN) berkata kepada Bernama hari ini bahawa semakin ramai pesakit mental dan kutu rayau dilihat berkeliaran di Kota Bharu dan ini boleh menjejaskan imej bandar ini sebagai tempat kunjungan pelancong.

JKMN adalah agensi kerajaan pusat yang ditempatkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pengarah JKM Kelantan, Mohamed Noor Chik, berkata jabatannya telah bertindak membawa pesakit mental mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II manakala kutu rayau dan pengemis ditempatkan di rumah perlindungan yang disediakan.

Bagaimanapun, katanya, yang menjadi masalah ialah apabila pesakit mental yang mendapat rawatan itu pulih dan dibebaskan semula, mereka tidak mendapat penjagaan yang baik menyebabkan mereka kembali menjadi tidak siuman.

Mengenai kanak-kanak yang meminta sedekah, Mohamed Noor berkata JKM mengesyaki mereka digunakan oleh sindiket tertentu.

Katanya jabatan itu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan tetapi menghadapi kesukaran kerana kanak-kanak ini sering melarikan diri.

Menurutnya, tahun lepas, 35 kanak-kanak yang menjadi pengemis jalanan, kebanyakannya warga negara asing, diselamatkan oleh JKM dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

– Bernama