Sambutan tiga tahun kerajaan Selangor

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan mengadakan sambutan tiga tahun pentadbirannya serta pelancaran Buku Jingga pada 5 dan 6 Mac di Stadium Malawati, Shah Alam.

Menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri,  karnival itu akan diadakan sepanjang dua hari melibatkan pelbagai acara menarik dipertandingkan antaranya perlawanan futsal, go-kart, persembahan kesenian, pameran, pertandingan memasak dan mewarna bagi kanak-kanak.

Lokasi bagi pertandingan futsal akan diadakan di gelanggang futsal Extreme Park, Shah Alam manakala pertandingan go-kart akan diadakan di litar go-kart bertempat di Stadium Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, solat Maghrib berjemaah akan diadakan pada 5 Mac bertempat di perkarangan Stadium Malawati diikuti acara kemuncak program ini ialah Pelancaran Buku Jingga oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disertai ceramah perdana oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Sebanyak 28 jabatan dan agensi termasuk 22 pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyertai pameran dan jualan sepanjang karnival berlangsung.

Antara jabatan dan agensi yang mengambil bahagian dalam pameran ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), SSIC Berhad, Tourism Selangor, Perbadanan Adat Warisan Negeri Selangor (PADAT), Universiti Selangor (Unisel) dan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan dimeriahkan lagi dengan sajian persembahan kesenian dan kebudayaan oleh Perbadanan Adat Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Buku Jingga dan Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Maklumat penuh mengenai sambutan ini boleh diperolehi dengan melayari laman web www.selangor.gov.my.