Penjawat awam dibelenggu hutang

Penjawat awam dibelenggu hutang

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah keterhutangan yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah keterhutangan yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

“Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Justeru Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu-isu berkaitan dengan hutang dan kebankrapan.

Beliau berkata ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

“Ahli-ahli Cuepacs yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

“Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum,” katanya.

– Bernama