Protes Hindraf: Pendapat orang awam

Protes Hindraf: Pendapat orang awam

Melihat demonstrasi Hindraf baru-baru ini, kesimpulan boleh dibuat bahawa banyak telah berubah sejak demonstrasi mereka pada 2007 yang menyaksikan lebih 30,000 orang hadir untuk menunjuk perasaan. Wartawan Komunitikini yang berada di KLCC mendengar pendapat awam mengenai demonstrasi tersebut.

Melihat demonstrasi Hindraf baru-baru ini, kesimpulan boleh dibuat bahawa banyak telah berubah sejak demonstrasi mereka pada 2007 yang menyaksikan lebih 30,000 orang hadir untuk menunjuk perasaan.

Perhimpunan yang bermula awal pagi Ahad di Kuala Lumpur City Center (KLCC) telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada orang awam yang tidak terlibat dan hanya melihat kejadian tersebut daripada  jauh.
Seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Affendy berpendapat bahawa kekurangan penyertaan dalam demontrasi kali ini kemungkinan disebabkan oleh rasa takut terkena tembakan bom air oleh pihak polis.
” Tembakan bom air yang polis lepaskan pada mereka dahulu mungkin membuatkan mereka berfikir dua kali. Kemungkinan juga mereka sedar bahawa himpunan kali ini mempunyai hubung kait dengan pihak-pihak tertentu,” kata Affendy sambil menyatakan pendapat peribadi beliau bahawa pada tahun 2007 mungkin mereka terpengaruh dengan provokasi pihak tertentu. 

Pada tahun 2007, sememangnya polis telah menggunakan gas pemedih mata dan juga bom air untuk meleraikan demonstrasi tersebut yang mana kejadian ini telah disiarkan oleh Al-Jazeera.

Seorang lagi orang awam yang memperkenalkan dirinya sebagai Shukri pula berpendapat, sekiranya perhimpunan itu diteruskan, kemungkinan juga upacara membakar novel akan dilakukan yang seterusnya membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu.

” Jadi perhimpunan ini tak perlu diadakan langsung kerana ia akan membangkitkan kemarahan dan ketegangan kaum,” kata Shukri.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah melakukan pembetulan sekiranya novel tersebut benar-benar menyentuh sensitiviti kaum, katanya lagi sambil menambah bahawa beliau singgah sebentar di KLCC dalam perjalanannya ke Klang untuk menyaksikan sendiri demonstrasi tersebut.

Dan seorang lagi orang awam yang enggan namanya disiarkan berkata beliau sebenarnya menjangkakan ramai orang akan turut serta dalam demontrasi tersebut.

Beliau berpendapat bahawa Hindraf tentunya mempunyai sebab yang baik yang mendorong mereka untuk mengadakan demonstrasi tersebut walaupun permohonan sebelum ini telah ditolak.

 

Gary Louis Supi