Lori sarat dengan tong gas tergelincir di Tawau

Sebuah lori yang  sarat dengan muatan tong gas dalam perjalanan menuju ke Tawau tergelincir masuk ke dalam sebuah parit  di kilometer 28 jalan Tawau-Kunak kelmarin.

Kejadian ini telah menarik perhatian orang ramai yang memandu melalui kawasan tersebut lalu menyebabkan kawasan tersebut menjadi sesak.

Salah seorang pemandu, yang memperkenalkan dirinya sebagai Kenneth Glenn Edward, yang kebetulan melalui kawasan kejadian tersebut berkata bahawa, kejadian tersebut telah berlaku sebelum dia sampai disitu.

Namun demikian, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan berlaku, menurutnya.

Kenneth berkata: ” Kami dalam perjalanan ke Kunak. Bila kami lintas (lalu) sana, lori gas itu sudah masuk dalam parit.”

Kemungkinan pemandu ini hilang kawalan semasa memandu, tambah Kenneth lagi yang ketika itu sedang memandu bersama rakannya Bonnie Mosidin.

“Tiada yang cedera. Selepas pemandunya keluar dari lori, dia sempat lagi menari Sumazau,”kata Kenneth lagi sambil bergurau.

Banyak kemalangan dan nahas jalanraya dilaporkan telah berlaku di kawasan ini sejak dahulu lagi.