Profil lengkap rakyat Malaysia di luar negara

Profil lengkap rakyat Malaysia di luar negara

Semua duta dan perwakilan Malaysia di luar negara harus menyediakan profil lengkap rakyat Malaysia di negara terbabit bagi memudahkan usaha mengenal pasti mereka jika berlaku kejadian tidak diingini.

Semua duta dan perwakilan Malaysia di luar negara harus menyediakan profil lengkap rakyat Malaysia di negara terbabit bagi memudahkan usaha mengenal pasti mereka jika berlaku kejadian tidak diingini.

Menteri Luar Anifah Aman berkata bagi memastikan perkara itu terlaksana, usaha tersebut dijadikan sebahagian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kedutaan dan suruhanjaya tinggi Malaysia.

“Itu (profil lengkap rakyat Malaysia) adalah antara perkara utama yang saya mahu daripada mereka. Ini kerana terdapat rakyat Malaysia yang apabila sudah sampai di sana atau bermastautin di situ enggan mendaftar (dengan kedutaan).

“Jadi kedutaan perlu pastikan berapa ramai dan kenal pasti mereka supaya apa-apa terjadi kita telah bersedia,” kata ketika ditemui selepas majlis penghargaan dan jamuan tengah hari petugas ‘Ops Piramid’ kementerian itu, di sini hari ini.

Dengan adanya profil itu juga, beliau berkata usaha menyelamatkan rakyat Malaysia juga lebih mudah jika keadaan memerlukan.

Selain itu, Anifah berkata semua kedutaan dan suruhanjaya terbabit harus menyediakan analisis lengkap mengenai negara yang menjadi tuan rumah mereka.

“Analisis-analisis itu perlu dilakukan untuk melihat keadaan di negara itu serta apa yang akan berlaku untuk jangka masa pendek dan panjang supaya kita lebih bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anifah berkata krisis politik yang merebak ke beberapa negara seperti Libya, Bahrain, Yaman dan Oman ketika ini menyebabkan Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di luar negara perlu sentiasa membuat persediaan.

Selain membuka bilik operasi yang beroperasi 24 jam, kedutaan terbabit juga perlu bertindak bijak dan bersedia dengan langkah perlu bagi menghadapi sebarang kemungkinan, katanya.

– Bernama