Geran penyelidikan RM1 juta untuk IPTA dan IPTS

Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Malaysia (MLRC) mengumumkan geran penyelidikan berjumlah RM1 juta kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi MLRC, Liew Vui Kong, berkata bahawa geran itu terbuka kepada pensyarah, pegawai penyelidikan serta mahasiswa lepasan IPTA dan IPTS.

“Geran berkenaan diwujudkan untuk menggalakkan penjanaan teori, konsep dan idea baru dalam mempercepatkan pembaharuan undang-undang agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan.

Liew berkata skop pembiayaan geran penyelidikan itu antara lain termasuk kos penyelidikan, kaji selidik kerja lapangan dan kos lain yang terlibat secara langsung dengan kajian.

Permohonan boleh dikemukakan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Aras 7, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,62692, Putrajaya.

– Bernama