MPKB akan gantung lesen penjual shisha

Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) memberi amaran akan menarik balik atau menggantung lesen peniaga yang gagal mematuhi larangan penjualan shisha di premis perniagaan mereka.

Setiausahanya, Mohd Anis Hussein berkata tindakan itu tertakluk di bawah undang-undang kecil MPKB di mana pihak berkuasa itu berhak menarik balik atau menggantung lesen mana-mana pengusaha kedai makan yang menjual barangan larangan di premis perniagaannya.

Katanya, MPKB boleh mengambil tindakan merampas bahan itu kerana ia terkeluar daripada jenis perniagaan yang dibenarkan di bawah syarat-syarat lessen yang dikeluarkan.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan masih belum memutuskan satus penggunaan shisha itu sama ada haram ataupun tidak.

“Kita tidak teragak-agak menarik balik atau menggantung lesen peniaga yang masih menjual barangan yang dilarang di peremis mereka selepas diberi amaran atau dirampas dalam operasi sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas rungutan peniaga yang membantah tindakan MPKB merampas shisha dalam operasi bersepadu di beberapa premis restoran dan kedai makan di sekitar bandar ini minggu lalu.

Dalam operasi membabitkan agensi kerajaan, termasuk Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) itu, mereka merampas pelbagai peralatan menghisap shisha.

Menurutnya, pengusaha premis perniagaan yang disita barangan yang dirampas itu boleh menuntut semula daripada pihak berkenaan selepas membayar kompaun mengikut kadar yang ditetapkan di bawah Jabatan Pelepesenan MPKB.

– Bernama

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE