Streamyx lembap semula di Lahad Datu

Pengguna Streamyx di Felda Sahabat, Lahad Datu membuat laporan semula mengenai capaian Streamyx yang lembab sejak 11 hari yang lalu.

Laporan tersebut telah dibuat pada 18 Februari selepas kelajuan yang direkodkan oleh TM Speedometer jatuh kepada 49 kbps pada hari sebelumnya. Beberapa pengguna merungut bahawa kelembapan capaian tersebut telah berlaku sejak beberapa hari lebih awal.

Sebelum ini, satu laporan telah dibuat pada 23 Disember tahun lalu menerusi saluran TM 100 atas sebab yang sama, tetapi masalah tersebut hanya dipulihkan pada 20 Januari tahun ini iaitu selepas 29 hari.

Walau bagaimanapun, kelajuan yang pulih tersebut hanya bertahan tidak sampai sebulan sebelum kelajuannya jatuh semula, menyebabkan pengguna berasa kecewa dan membuat aduan semula.

Paling mengecewakan ialah kelembapan tersebut berlaku sepanjang masa walaupun selepas tengah malam atau hujung minggu.

“Masalah ini betul-betul menyusahkan saya. Saya tidak dapat buat banyak kerja saya dengan baik. Sampai hendak tempah tiket AirAsia atau urusan bank di atas talian pun susah,” ujar Faisal yang merupakan seorang guru sekolah.

Beberapa pengguna berkata, mereka tidak menerima sebarang pampasan atau pengurangan dalam bil Streamyx mereka, walaupun capaian Internet untuk tempoh tersebut jatuh kepada 3 kbps yang paling teruk.

 

Tarikh, Masa Kelajuan Pindah Turun (kbps)
17/2/2011, 22:20 49
18/2/2011, 14:57 60
24/2/2011, 20:05 18
26/2/2011, 21:11 9
27/2/2011, 11:02 7