Kemiskinan balu dan waris anggota polis di Kedah diingati

Seramai 12 balu dan waris kepada anggota polis Kedah yang terkorban semasa menentang komunis pada zaman darurat dan ketika melakukan tugasan lain menerima sumbangan daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata sumbangan itu berupa keprihatinan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia terhadap jasa anggotanya yang terkorban semasa bertugas.

Majlis sumbangan kepada pelbagai perkhidmatan polis termasuk polis bantuan dan simpanan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini.

Salah seorang balu tersebut, Faridah Embee, 61, bersyukur dengan pemberian sumbangan itu.

“Walaupun suami saya telah meninggal dunia 43 tahun lalu, jasanya¬†tidak sia-sia. Wang sumbangan ini tanda penghargaan kerajaan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Suaminya, Konstabel Mohd Salleh Abidin terkorban dalam serang hendap pengganas komunis di Betong, Perak pada 17 Jun 1968 semasa Faridah berumur 18 tahun dan beliau tidak berkahwin sehingga sekarang.

Beliau menyara anak dan ibunya yang sudah tua menerusi pencen suaminya sebanyak RM317 sebulan.

Jurianah Mohamad, 48, berkata wang sumbangan yang diterimanya akan digunakan untuk membiayai pengajian dua orang anaknya.

“Arwah suami saya, Lans Koperal Mohd Zakaria Mat Isa meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa mengejar penjenayah di Kangar pada 19 Mac 1994.

Jurianah kini bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kain di Alor Setar bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga di samping bergantung kepada wang pencen suaminya sebanyak RM317 sebulan.

– Bernama