Ops Payung dilancar oleh Polis Sabah

Ops Payung dilancar oleh Polis Sabah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah hari ini melancarkan Ops Payung, satu inisiatif untuk mengurangkan kadar jenayah sekaligus menjadikan polis lebih dekat dengan masyarakat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah hari ini melancarkan Ops Payung, satu inisiatif untuk mengurangkan kadar jenayah sekaligus menjadikan polis lebih dekat dengan masyarakat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hamza Taib berkata langkah itu juga bertujuan untuk memulihkan persepsi orang ramai dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis.

“Payung yang memberi perlindungan dari hujan dan matahari, secara simboliknya melambangkan elemen  pelindung kepada masyarakat.

“Ops Payung juga bertindak sebagai ‘balai bergerak’ di mana semua elemen rondaan polis akan  menjadikannya sebagai tempat pertemuan. Pertemuan ini akan menampakkan kehadiran anggota polis yang ramai di satu-satu lokasi,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Ops Payung peringkat negeri di pusat beli-belah Centre Point di sini.

Di bawah Ops Payung, tiga anggota polis akan bertugas mengikut syif
empat jam, di mana mereka  boleh mendirikan payung dan meja di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bantuan.

Selain memberi akses kepada penduduk setempat menyampaikan maklum balas kepada polis, anggota polis  juga dapat mengambil tindakan yang cepat tatkala berlaku jenayah di sekitar lokasi payung.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hamza berkata beberapa daerah seperti Tawau dan Sandakan sudahpun memulakan Ops Payung dan pelancaran peringkat negeri hari ini untuk memastikan operasi diseragamkan di seluruh negeri.

Mengenai jumlah payung yang digunakan untuk operasi di seluruh negeri ini, beliau berkata tiada jumlah tertentu ditetapkan kerana kesemua 20 ketua  polis daerah diarahkan untuk menggunakan budi bicara masing-masing.

Bagaimanapun, katanya fokus diberikan kepada lima ‘daerah panas’ iaitu Kota Kinabalu, Penampang,  Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Beliau juga menjelaskan walaupun stesen payung tidak beroperasi 24 jam, ketua polis daerah sebagai pegawai yang bertanggungjawab akan melaksanakannya berdasarkan keperluan kawasan pantauan mereka masing-masing.

“Ops Payung ini sebagai melengkapi tugas polis yang sedia ada, rondaan-rondaan polis seperti biasa akan tetap dilakukan,” katanya.

Pendekatan itu, kata Hamza, amat bertepatan dalam usaha merealisasikan enam objektif Bidang  Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM yang menjurus kepada penurunan jenayah indeks dan jenayah jalanan.

“Kita tahu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) PDRM yang ditetapkan kerajaan adalah mengurangkan kadar indeks jenayah indeks sebanyak lima peratus, mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus, dan  kadar penyelesaian kes sebanyak 40 peratus.

“Walaupun Sabah tidak termasuk sebagai salah satu Kontinjen (terlibat) untuk NKRA, tapi kita gunakan pendekatan yang sama. Tahun lepas KPI sudah tercapai, sekarang ini kita bergerak dari lima peratus hingga 10 peratus  (sasaran penurunan kadar indeks jenayah),” katanya.

– Bernama