Hari Kraf Kebangsaan sasar jualan RM25 juta

Hari Kraf Kebangsaan sasar jualan RM25 juta

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyasarkan jumlah jualan hasil produk kraf sebanyak RM25 juta sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2011 yang bermula semalam dan tamat 7 Mac.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menyasarkan jumlah jualan hasil produk kraf sebanyak RM25 juta sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2011 yang bermula semalam dan tamat 7 Mac.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim berkata jumlah itu mampu tercapai memandangkan industri kraf negara semakin menarik perhatian masyarakat dan mendapat permintaan meningkat dari tahun ke tahun.

“Duit ini semua milik pengusaha bukan milik Kraftangan Malaysia, jadi kita harap orang ramai-ramai datang untuk melihat dan menghargai produk kraf,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pameran HKK di Kompleks Kraf hari ini.

Hari Kraf Kebangsaan 2011 yang bertemakan ‘Kraf Menaja Ekonomi’ itu dirasmikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Rais berkata kementerian juga menyasarkan jumlah pengunjung sekitar 90,000 ke 150,000 orang pada pameran kali ini.

Terdahulu, ketika berucap Rais berkata HKK pertama diadakan pada tahun 2003 berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM319,000 dan tahun lepas hasil jualan meningkat kepada RM20.8 juta.

See also  IKAT 2.0: Immersive batik experience arrives in Penang

“Ini menunjukkan bahawa industri kraf merupakan industri yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya sambil menjelaskan bahawa kerajaan akan terus membantu dan memberi sokongan kepada pengusaha kraf negara.

Rais berkata hampir RM15 juta dibelanjakan oleh pelancong setiap tahun untuk membeli barangan kraf dan artifak seni, tetapi hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu adalah pembelian barangan kraf tempatan.
“Mungkin ini disebabkan kedatangan artifak seni dari luar negara, justeru semua pihak perlu menyokong industri kraf negara agar ia berjaya di mata dunia dan memaparkan evolusi 1Malaysia itu sendiri,” katanya.

Pada majlis itu Rais turut menyampaikan anugerah khas Tukang Ulung kepada sembilan penerima terdiri pengusaha kraf tembaga, pembuat kraf perahu layar, pembuat kraf tekstil batik, pembuat kraf kepala singa, pembuat kraf sulaman manik, pembuat kraf tembikar, pembuat kraf parang ilang, pembuat kraf perahu lepa dan pembuat kraf patung dan topeng Orang Asli.

Kesemua penerima diberi plak penghargaan serta wang RM100,000 setiap seorang.

See also  Gelly Wee: Bridal bliss with record-breaking event

Noorainee pula menyampaikan anugerah Tokoh Kraf Negara kepada Allahyarham Abdul Manan Yakub, pembuat kraf pertukangan perak dari Kelantan, yang diterima oleh anaknya Hasnan Abdul Manan.
Abdul Manan,  lebih dikenali Pok Teh, menerima wang ganjaran RM60,000 bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam usaha memelihara dan melindungi seni pertukangan dan kemahiran kraf warisan daripada pupus.

Pok Teh yang meninggal dunia 1 Jan lalu mula didedahkan dengan kerja pertukangan perak ketika berusia tujuh tahun ketika memerhatikan kerja pertukangan bapanya Yakub Mohamad.

Yakub merupakan seorang tukang perak mahir menghasilkan barangan kraf perak untuk pegawai-pegawai Inggeris selain menerima tempahan dari istana.

Antara koleksi barangan perak karya Pok Teh adalah Payung Adat Istiadat, Kepala Logo Kenderaan Istana dan Cokmar Diraja selain menggubah beberapa reka corak dengan menggunakan motif seperti pucuk rebung, daun jawa dan tapak lembing dalam penghasilan barangan perak kasar dan perhiasan diri.
– Bernama