Perkhidmatan bas sekitar Lembah Klang perlu diperhebatkan

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memperhebatkan perkhidmatan bas di Lembah Klang sebelum pelaksanaan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT), kata Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua.

Beliau berkata perkhidmatan bas merupakan satu daripada dua tonggak utama dalam mana-mana model pengangkutan awam yang berjaya, dan sumbangannya tidak boleh diperkecilkan kerana ia mampu melengkapi perkhidmatan MRT.

Merujuk Singapura, Pua berkata purata penumpang MRT setiap hari di republik itu ialah 1.95 juta orang, iaitu hanya 63.2 peratus daripada penumpang bas yang berjumlah 3.09 juta.

Di Hong Kong pula, katanya, secara purata sistem MTR mengangkut 3.76 jutapenumpang setiap hari.

“Meskipun sistem MTR cukup efisien, Hong Kong mempunyai jaringan perkhidmatan bas yang luas dan didominasi tiga syarikat bagi menampung jumlah penumpang yang sama atau lebih, setiap hari.

“Syarikat bas terbesar, Kowloon Motor Bus Company sahaja, misalnya, membawa kira-kira 2.7 juta penumpang setiap hari,” katanya pada sidang akhbar di ibupejabat DAP semalam.

Bagaimanapun, Pua berkata SPAD seolah-oleh mengabaikan dan tidak menganggap perkhidmatan bas sebagai pengangkutan awam yang bukan sahaja penting dan berkesan, malah kritikal.

“Perdebatan mengenai cadangan sistem MRT di Lembah Klang antara pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dengan SPAD menunjukkan suruhanjaya itu seolah-olah terlalu bergantung kepada MRT bagi menyelesaikan kemelut pengangkutan awam bagi penduduk di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Pua yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, terdapat dua sebab perkhidmatan bas perlu diperhebat sebelum projek mega MRT dilaksanakan.

“Pertama, adalah lebih pantas untuk kita menambah bilangan bas dalam tempoh yang singkat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kos sara hidup penghuni ibu kota.

“Kedua, ia juga langkah yang jauh lebih murah berbanding projek MRT. Katakan setiap bas berharga RM600,000, “membanjiri” Lembah Klang dengan 3,000 buah lagi hanya menelan kos sebanyak RM1.8 juta, satu jumlah kecil berbanding RM46 bilion untuk projek MRT,” katanya.

Beliau juga berkata SPAD perlu menyediakan rangka kerja bagi perkhidmatan bas di Lembah Klang sebagai tambahan kepada rangka kerja MRT.