Peniaga OKU kecewa diarah pindah ke tapak lain

Peniaga OKU kecewa diarah pindah ke tapak lain

Seorang peniaga OKU di Pasar Besar Taman Megah SS 24 dekat sini tidak berpuas hati apabila gerainya dipindahkan ke tapak lain atas sebab dan alasan yang tidak kukuh.

Seorang peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pasar Besar Taman Megah SS 24 dekat sini tidak berpuas hati apabila gerainya dipindahkan ke tapak lain atas sebab dan alasan yang tidak kukuh.

Peniaga tersebut Cha Seah Nee 39 berkata tindakan ahli majlis mengubah tempatnya berniaga adalah tidak wajar.

“Seperti yang dipersetujui sejak daripada awal lagi, tempat saya berniaga adalah dibahagian hadapan pasar ini bagi memudahkan saya keluar dan masuk berikutan kemudahan yang telah disediakan di sini.

Menurutnya keadaan itu mendatangkan kesukaran kepadanya untuk berniaga kerana terpaksa memunggah barangan jualan agak jauh.

“Saya OKU sepatutnya bahagian hadapan premis ini perlu dikhas kepada golongan seperti saya tetapi sejak dipindahkan ke bahagian belakang sejak seminggu yang lalu perniagaannya agak merosot,” katanya.

Sementara itu peniaga bunga,  Daisy Rani,45, berkata pada mesyuarat 20 Oktober 2010 lalu lima peniaga termasuk dirinya tidak bersetuju untuk dipindahkan.

“Kami sudah menyatakan yang kami tidak bersetuju namun 28 Januari lalu lesen yang dikeluarkan kepada kami telah secara rasmi ditukarkan kepada nombor tapak niaga yang lain ,”katanya.

Menurutnya dia yang menghidap penyakit asma berharap perkara tersebut diberi perhatian sewajarnya oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Turut hadir pada sidang media tersebut Persatuan Badan Latihan & Hidup Berdikari,  Francis Siva.

Sementara itu Ahli Majlis MBPJ Zon 13, Anthony Siva Balan berkata beliau akan menghantar memorandum bantahan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya berhubung perkara berkenaan.

“Perkara ini juga saya akan bawa masuk ke mesyuarat penuh MBPJ akan datang kerana tindakan sedemikian seolah-olah mendiskriminasikan golongan oku dan ianya melampau,” katanya.

Jelas perkara sebenar

Sementara itu, Ahli majlis Zon 6, Tiew Way Keng ketika dihubungi Komunitikini hari ini enggan mengulas lanjut berkenaan isu terbabit.

Sebaliknya beliau memberitahu akan mengadakan sidang media di Pasar Taman Megah pada esok kira-kira jam 10.30 pagi.

”Saya tidak boleh jelaskannya di sini (telefon) kerana agak panjang, saya akan kemukakan bukti pada sidang media akan dihadiri wakil rakyat,” katanya.