Kerajaan Selangor dan NGO bekerjasama tangani isu haiwan peliharaan

Kerajaan Selangor dan NGO bekerjasama tangani isu haiwan peliharaan

Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi pemeliharaan dan penjagaan haiwan pada masa akan datang.

Kerajaan  negeri  sentiasa bersedia untuk bekerjasama  dengan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO)  bagi pemeliharaan dan penjagaan haiwan pada masa akan datang.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan,Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin,Dr  Xavier Jayakumar berkata kerjasama itu  penting bagi mendidik orang ramai  kepentingan menjaga haiwan peliharaan khususnya mereka yang tinggal di kawasan perumahan.

Menurutnya, selain pendidikan, orang ramai juga diminta untuk memberi kerjasama khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dalam mengatasi masalah anjing liar khususnya di kawasan ini.

“Isu berkaitan haiwan peliharaan adalah perkara yang sentiasa ditangani oleh PBT di seluruh negeri termasuk di sini.

“Sehubungan itu, kita cadangkan  untuk mengadakan satu sistem dan syarat yang sama di semua kawasan bagi memudahkan mengatasi isu berkaitan antaranya masalah anjing liar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Pengurusan Haiwan Peliharaan 2011 anjuran Majlis Perbandaran Klang  (MPK) di Dewan Hamzah di sini, baru baru ini.

Hadir sama Setiausaha MPK, Ikhsan Mukri, Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Zulkifli Abbas.

Sementara itu, panel penceramah terdiri daripada Dr Chandra Muzaffar, T.Anthony dan Amelia Lazarus.

Dalam perkembangan berkaitan, Ikhsan berkata, pihaknya  sentiasa komited terutama dalam menangani isu berkaitan anjing liar.

Justeru itu, beliau berharap forum yang diadakan ini dapat memberi pendedahan termasuk selok belok penjagaan haiwan, tanggungjawab pemilik dan  terapi haiwan peliharaan.

“Malah, forum yang diadakan juga membolehkan orang ramai termasuk NGO dan kumpulan pencinta haiwan menyuarakan pendapat dan cadangan bagi meningkatkan  keberkesanan dalam penjagaan haiwan peliharaan,” katanya.