Kerajaan Pusat beri RM300,000 kepada Persatuan Imam

Kerajaan Pusat beri RM300,000 kepada Persatuan Imam

Persatuan Imam dan Pegawai Masjid SeMalaysia hari ini menerima sumbangan geran bantuan RM300,000 daripada kerajaan pusat bagi membiayai aktiviti persatuan itu.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Mohd Fatmi Che Salleh, yang mewakili Perdana Menteri Najib Tun Razak, menyampaikan cek bantuan kewangan itu kepada Yang Dipertua persatuan itu Kamarulzaman Latiff pada satu majlis di sini hari ini.

Mohd Fatmi, yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, berkata bantuan ewangan itu adalah hasil daripada pertemuan persatuan berkenaan dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Kamarulzaman Latiff berkata pihak persatuan amat bersyukur dan berterima kasih di atas pemberian geran bantuan itu yang membolehkan mereka merancang pelbagai program untuk masjid dan rakyat setempat.

 

Peruntukan kerajaan pusat RM4 juta, kerajaan negeri RM1 juta

Terdahulu, Mohd Fatmi dalam ucapannya pada majlis itu berkata kerajaan pusat, yang diterajui Barisan Nasional (BN), memperuntukkan RM4 juta setiap tahun bagi membayar gaji dan elaun seramai 2,000 petugas masjid serta imam di Kelantan, walaupun tanggungjawab itu terletak di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS.

Katanya kerajaan Kelantan hanya memperuntukkan RM1 juta kepada petugas masjid, dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menghargai tugas dan tanggungjawab yang dipikul olehimam dan petugas masjid di setiap mukim di negeri itu.

 

Elaun imam muda dan imam tua dinaikkan

Beliau berkata sebelum ini, imam mukim kanan atau dikenali sebagai imam tua, di Kelantan hanya mendapat elaun RM200 sebulan dan imam muda RM50 sebulan.

Seiring konsep 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2011 pada Oktober tahun lepas mengumumkan kenaikan elaun bulanan imam kepada RM750 dan bilal kepada RM250.

 

Peruntukan besar untuk golongan terpengaruh, berperanan jelaskan dasar dan tindakan kerajaan

“Peruntukan besar itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Pusat dalam membantu golongan imam dan kakitangan masjid yang merupakan golongan yang rapat dan terpengaruh dalam masyarakat setempat di negara ini,” katanya.

Beliau berharap pegawai masjid dapat memainkan peranan dalam memberi  penjelasan mengenai dasar kerajaan terutama dalam membantu rakyat memahami usaha-usaha kerajaan membantu mereka termasuk tindakan kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir berikutan pergolakan politik di negara itu baru-baru ini.

— Bernama