40,000 wanita dalam skim kewangan mikro

Kesemua 40,000 ahli kelab Program Kewangan Mikro Bandar (PKMB) di seluruh negara adalah peminjam wanita, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed.

“Program PKMB ini dibuka untuk semua, tetapi hanya kaum wanita yang menyertainya dan mereka berjaya tingkatkan pendapatan melalui skim mikro diberikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan emas PKMB di sini hari ini.

Beliau berkata PKMB merupakan program yang dilaksanakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membantu golongan miskin dalam bandar memajukan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik.

“Kita berbangga kerana kaum wanita berusaha untuk ceburi perniagaan untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

“Lebih berbangga PKMB cawangan Kota Baharu mendapat taraf emas kerana peminjam wanitanya membayar semula pinjaman mereka 100 peratus dalam tempoh dua tahun cawangan itu dibuka,” katanya.

Bagi menjayakan lagi program itu, Mustapa berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM350 juta kepada AIM bagi menyalurkan bantuan itu kepada rakyat pada tahun ini.

Beliau berkata peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada AIM itu ditingkatkan berbanding RM151 juta tahun lepas memandangkan program itu berjaya membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan.

Berdasarkan kajian impak program PKMB, hampir 90 peratus isi rumah miskin yang menceburi perusahaan mikro secara berterusan di bawah skim berkenaan memperoleh pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan Negara, katanya.

“Ini bermakna program AIM ini berjaya mengeluarkan sejumlah besar keluarga miskin daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

— Bernama