Cicak Tokek menjadi kegilaan masa kini

Sejenis cicak yang dipanggil Tokek (Tockay Gecko), yang semakin diburu sejak kebelakangan ini kerana dikatakan mempunyai nilai komersial yang cukup lumayan, telah membuatkan segelintir orang merasa taksub sehingga sanggup menggadaikan sejumlah wang ringgit bagi tujuan mendapatkan makhluk tersebut untuk dijual semula.

Oleh kerana harga lumayan yang ditawarkan untuk cicak ini, pembelian dan penjualan sudah menjadi satu industri yang kecil di kawasan desa di utara Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini, wartawan Komunitikini berkesempatan untuk menemui seorang warga Sabah yang telah lama bermastautin di Kuala Lumpur. Beliau menceritakan pengalaman beliau menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk mendapatkan cicak tersebut.

Namun, apa yang diharapkan untuk menjadi kenyataan, tidak berlaku seperti apa yang diidam-idamkan semenjak memulakan pemburuan terhadap reptilia tersebut. Malahan, dia sendiri telah ditipu oleh seseorang yang pada pandangan umum boleh dikategorikan sebagai warak dan boleh dipercayai.

Pada mulanya beliau enggan untuk menceritakan kisahnya itu, tetapi selepas didesak oleh wartawan demi kepentingan masyarakat umum, maka beliau bersetuju dengan syarat nama sebenar dan gambarnya tidak disiarkan.

Lelaki ini yang berumur dalam lingkungan 30-an dan hanya ingin dikenali sebagai Yus berkata, beliau mula mencari Tokek pada awal tahun 2010 selepas diberitahu oleh rakan-rakan bahawa nilai komersialnya yang tinggi.

Permintaan untuk cicak Tokek ini dikatakan adalah amat tinggi kerana ia digunakan di dalam perubatan tradisi. Lidah tokek ini dikatakan boleh menyembuhkan penyakit AIDS dan darah serta hempedunya boleh menyembuhkan barah. Daging tokek ini juga diura-ura menaikkan nafsu syawat.

“ Saya pun tertarik untuk mendapatkannya. Mulai daripada itu, saya mula mencari sumber-sumber maklumat tentangnya,” kata Yus.

Walaubagaimanapun, beliau tidak terlibat secara langsung dalam penangkapan Tokek tetapi hanya memberikan upah kepada sesiapa yang menangkapnya, atau membelinya dengan harga murah daripada harga pasaran.

Sudah banyak Tokek yang dilihatnya tetapi semuanya tidak kena kerana saiznya yang kecil dan ringan membuatkannya belum sesuai untuk dijual. Pembeli-pembeli pada umumnya hanya membeli tokek yang beratnya sudah melebihi 300 gram. Seekor tokek dikatakan boleh mencecah harga di antara RM25,000 hingga RM35,000.

Pada suatu hari, beliau telah berkenalan dengan seorang lelaki ketika sedang duduk minum di kedai kopi berhampiran rumah beliau.

Lelaki ini menurut Yus yang dipercayai bukan warga tempatan, mempunyai perwatakan yang baik serta boleh dipercayai.

Kata Yus lagi, “Orang ni kelihatan alim dan dia jarang meninggalkan waktu sembahyangnya.”

Namun, topik tentang Tokek hanya terkeluar diantara mereka hanya selepas beberapa bulan berkenalan apabila orang itu secara tiba-tiba bercakap mengenai Tokek yang banyak didapati di Selatan Filipina.

“Orang ini tidak tahu bahawa saya dan rakan-rakan juga sedang mencari Tokek. Kami juga tidak pernah memberitahunya. Tetapi pada mulanya kami hanya mendiamkan diri bila dia bercerita. Dia bercakap tentang kenalan yang dia ada disana dan boleh menangkap Tokek yang senang didapati dikawasan tempat tinggalnya,” kata Yus sambil menambah bahawa orang itu mendakwa Tokek disana boleh didapati dengan harga yang murah walaupun mempunyai berat yang mencukupi untuk dijual.

Akhirnya selepas beberapa lama, Yus dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk berurusan dengan orang ini.

Menurut Yus lagi bahawa orang itu kelihatan terkejut apabila mereka menyatakan hasrat meminta beliau menjadi orang tengah bagi urusan jual beli tersebut.

“Akhirnya orang ini bersetuju lalu meminta masa supaya dia dapat menghubungi kenalannya itu terlebih dahulu. Tiga hari kemudian dia beritahu kami bahawa kenalannya itu ada menyimpan beberapa ekor Tokek yang sudah siap untuk dijual,” tambah Yus.

Maka Yus dan rakan-rakan pun menyediakan sejumlah puluhan ribu ringgit hasil perkongsian diantara mereka.

Oleh kerana perwatakan dan sifat alim orang ini yang boleh dipercayai, maka mereka mengambil keputusan menyerahkan wang tunai tersebut ketangan orang itu.

Yus dan rakan-rakan diyakinkan bahawa wang itu akan selamat ditangannya dan Tokek itu akan dibawa balik dalam tempoh seminggu.

Yus berkata, “Memang benar orang itu balik dalam tempoh seminggu tetapi tiada seekor pun Tokek yang dibawa balik. Orang itu menceritakan bagaimana pada masa yang sama seseorang daripada Sabah juga berada rumah kenalannya itu dan menawarkan harga yang jauh lebih baik daripada mereka. Kenalannya itu kemudiannya menjualnya pada orang tersebut.”

Wang itu diserahkan semula kepada mereka, tetapi selang seminggu kemudian orang itu menghubungi semula Yus dan rakan-rakan memaklumkan bahawa kenalannya itu telah berjaya menangkap beberapa ekor Tokek yang baru.

Kali ini, kenalannya itu memberi jaminan akan menjual Tokek-Tokek itu kepada mereka menurut harga asal yang dipersetujui.

Lalu Yus dan rakan-rakan pun menyerahkan semula wang tersebut kepada beliau untuk dibawa ke Selatan Filipina dua hari berikutnya.

Namun, setelah menunggu selama seminggu, orang itu tidak muncul dan begitu juga pada minggu yang kedua, ketiga dan seterusnya.

“Sudah berbulan-bulan kami tunggu tapi dia tidak juga muncul-muncul. Hati kami memang gelisah dan marah. Akhirnya pada suatu hari kami mendengar berita tentang orang ini yang membuatkan kami bengang.” Tambah Yus yang turut menyerahkan sejumlah belasan ribu wang ringgit kepada orang itu.

Sumber yang mereka perolehi memberitahu bahawa orang tersebut telah berkahwin dengan seorang gadis di Selatan Filipina.

Akhirnya Yus dan rakan-rakan sedar bahawa mereka telah ditipu oleh orang tersebut. Wang yang diserahkan mereka pada orang tersebut rupa-rupanya telah digunakan untuk belanja perkahwinan.

“Kami juga dapat tahu bahawa orang ini memang sudah sedia maklum bahawa kami memang mencari Tokek. Dia mengetahuinya daripada seseorang yang pernah berurusan dengan kami dahulu,” kata Yus.

Yus dan rakan-rakan rupa-rupanya telah dijadikan sasaran orang itu untuk mendapatkan wang bagi mengahwini gadis tersebut.

Nasi telah menjadi bubur bagi Yus dan rakan-rakan kerana sukar bagi mereka untuk menjejaki orang tersebut apatah lagi mendapatkan semula wang mereka.

Akhirnya, Yus membawa dirinya ke Kuala Lumpur bagi tujuan mencari ketenangan jiwa akibat ditipu oleh orang boleh dianggap alim

Ketika ditanya apakah perancangan beliau selepas ini, katanya, dia ingin mencari pekerjaan dan menetap di sini sehingga dia bersedia semula untuk kembali ke Sabah.

Mengenai orang yang menipu mereka itu, Yus berkata bahawa setiap perbuatan jahat pasti akan ada balasannya nanti.

“Saya juga pernah menipu orang. Mungkin ini adalah balasan untuk saya. Sekarang saya rasa bagaimana sakitnya hati bila ditipu orang,” kata Yus mengakhiri perbualannya.