Perobohan Batu Estet ditangguh dua minggu

Ex batu estate workers
Ex batu estate workers

Kerja meroboh penempatan 38  kuarters Batu Estet, Segambut, yang dijadualkan berlangsung hari ini  ditangguhkan selama tempoh dua minggu.

Keputusan itu dicapai selepas wakil penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan pertemuan dengan peguam mewakili penduduk.

Lebih 100 anggota penguatkuasa DBKL  termasuk dua buah jentolak dilihat berada di kawasan penempatan Batu Estet kira-kira jam 9 pagi.

Walaupun cuaca di kawasan tersebut redup tetapi situasi ketika itu agak sayu.

Komunitikini mendapati beberapa orang  warga emas merupakan “orang lama” berbual sesama mereka sambil  duduk dikerusi berhampiran rumah mereka.

Dalam pada itu, seorang penduduk Lau Thin Kua, 51, berkata beliau kesal dengan tindakan agensi penguatkuasaan mahu meroboh rumah kediamannya tanpa mengikut prosedur undang-undang.
Ex batu estate workers
Ex batu estate workers
Menurutnya sebelum ini pemaju berjanji untuk memberikan pampasan dan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Sekarang wang pun belum dapat, rumah belum bagi, mahu pindah mana,” kesalnya.

Malah, Lau berkata, kalau nak diikutkan hati mahu sahaja beliau berpindah daripada menunggu arahan daripada pemaju.

“Kita tak mahu tunggu, kita mahu pindah tetapi pihak pemaju suruh tunggu, dah dekat setengah tahun tunggu.
“Ada penduduk yang sudah berpindah, pemaju perlu kotakan janji, sekarang macam mana,” tegasnya.

Pada Feb tahun lalu, penduduk Batu Estet dijanjikan menerima wang sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000.

Selain itu, setiap pemilik setinggan yang bersetuju juga turut menerima pampasan RM10,000 manakala RM30,000 kepada pemilik rumah estet yang berkenaan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan memberi penjelasan kepada penduduk Batu Estet yang hadir pada sesi taklimat tersebut.
Sebaliknya penduduk mendakwa laporan sesetengah akhbar menyatakan kesemua penduduk Batu Estet hadir semasa sesi taklimat adalah tidak benar.
Penduduk memberitahu mereka tidak menerima sebarang maklumat bagi  menghadiri sesi taklimat tersebut.